Sunday, March 29, 2009
Masa Haid Dan Tempohnya (bahagian 3)
Keempat:
Pemikiran yang sihat berdasarkan qiyas (analogi) yang sahih akan mengetahui bahawa Allah Ta‘ala menjadikan haid sebagai satu bentuk kotoran. Faktor penyebab hukum (‘illah) bagi haid ialah kotoran. Maka apabila sahaja didapati wujud haid maka wujudlah kotoran tanpa dibezakan antara hari kedua dan hari pertama, hari keempat dan hari ketiga, hari keenam belas dan hari kelima belas, hari kelapan belas dan hari ketujuh belas.
Justeru haid tetap haid, kotoran tetap kotoran, dan ‘illah (faktor penyebab hukum) tetap sama pada dua hari tersebut. Maka bagaimana mungkin dibezakan hukum antara dua hari tersebut sedangkan faktor penyebabnya adalah sama? Ini menyalahi qiyas yang sahih kerana faktor penyebab yang sama akan menyamakan hukum antara dua hari tersebut.
Kelima:
Wujud perselisihan pendapat di kalangan orang-orang yang membataskan tempoh tertentu dan tiada satu jua di antara pendapat-pendapat ini yang kuat hujahnya. Ini disebabkan di antara pendapat-pendapat ini, tidak ada dalil yang dijadikan sumber rujukan. Ia adalah ijtihad yang terbuka kepada kebenaran dan kesalahan sehingga tidak ada satu di antaranya yang terlebih utama untuk diikuti.
Tempat rujukan ketika berlaku perselisihan ialah al-Qur’an dan al-Sunnah. Jelas daripada dua sumber ini bahawa tidak ada pembatasan tempoh minima dan maksima haid.
Oleh itu apabila seorang wanita mendapati darah mengalir keluar secara fitrah tanpa disebabkan luka atau seumpama, maka ia adalah darah haid tanpa ditetapkan umur atau tempoh masanya.
Berkata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah:
Pada asalnya setiap darah yang mengalir keluar dari rahim adalah darah haid sehinggalah ada bukti yang menunjukkan ia adalah darah istihadah.
Katanya lagi:
Apa-apa darah yang keluar ialah darah haid jika tidak diketahui bahawa ia adalah darah istihadah atau luka. [al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam biha, ms. 36 & 38]
Lima sebab di atas menjadi hujah bahawa tidak ada penetapan tempoh minima dan maksima bagi haid. Hujah-hujah ini bukan sahaja benar dari sudut dalil al-Qur’an, al-Sunnah dan pemikiran yang benar, tetapi juga mudah selari dengan ruh Islam.
Allah 'Azza wa Jalla berfirman:
Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama. [al-Hajj 22:78]
Sabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam:
“Sesungguhnya agama adalah mudah, dan tidak seorang pun yang memberat-beratkan urusan agama melainkan ia menewaskannya[1], maka hendaklah kamu semua membuat yang betul dan menghampirkan kepada kebenaran dan memberi berita gembira.” [Shahih al-Bukhari – no: 39 (Kitab al-Iman)]
Dikenali daripada akhlak Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bahawa apabila diberi dua pilihan, Baginda akan memilih yang paling mudah antara keduanya selama mana tidak melibatkan dosa.
Haid Wanita Hamil
Pada kebiasaannya seorang wanita apabila hamil akan terhenti haidnya. Kata Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah:
Sesungguhnya seorang wanita diketahui hamil apabila terputus haidnya. Apabila seorang wanita hamil melihat darah keluar dan ia disertai tolakan bersalin dua atau tiga hari sebelum masa melahirkan, maka itu adalah darah nifas.
Jika darah keluar pada masa yang jauh sebelum bersalin atau hampir kepada masa bersalin tetapi tidak disertai tolakan bersalin, maka itu bukanlah darah nifas. Akan tetapi berlaku perselisihan pendapat antara para ilmuan: Adakah itu adalah darah haid yang dikenakan hukum-hukum haid ke atasnya atau darah fasad (istihadah) yang tidak dikenakan hukum-hukum haid ke atasnya ?
Yang benar, ia dikira sebagai darah haid apabila ia mengalir keluar secara fitrah. Ini kerana pada asalnya setiap darah yang mengalir keluar daripada wanita adalah haid selagi mana tidak ada faktor penyebab yang lain seperti luka dan seumpamanya. Lebih dari itu tidak terdapat di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah dalil atau hujah bahawa wanita yang hamil tidak didatangi haid.
Ini adalah mazhab Malik dan al-Syafi’e serta menjadi pillihan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, sebagaimana di dalam kitab beliau berjudul al-Ikhtiyarat. Imam al-Baihaqi rahimahullah meriwayatkan satu pendapat daripada Imam Ahmad dalam bab ini, malah inilah pendapat yang beliau pegang diakhirnya.
Maka atas dasar ini hukum-hukum ke atas wanita hamil yang haid adalah sama dengan wanita tidak hamil yang haid. Namun terdapat dua pengecualian dalam bab ini:
Pertama:
Diharamkan menjatuhkan talak (menceraikan) seorang wanita yang sedang haid tetapi tidak hamil. Akan tetapi diharuskan menceraikan seorang wanita yang sedang haid dan pada waktu yang sama hamil.
Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan iddahnya. [al-Thalaq 65:01]
Menceraikan wanita yang sedang haid dan pada waktu yang sama hamil tidak menyalahi firman Allah di atas. Ini kerana menceraikan wanita hamil bererti menceraikannya pada masa iddahnya. Tidak perlu mengambil kira sama ada wanita hamil tersebut sedang haid atau suci kerana iddahnya ialah dengan kehamilan.
Kedua:
Wanita hamil yang sedang haid tempoh iddahnya tidak tamat dengan berhentinya haid. Ini berbeza dengan wanita tidak hamil yang sedang haid. Sebabnya, syarat tamat tempoh iddah bagi wanita yang hamil ialah dengan kelahiran anaknya. Ia tidak bersyaratkan haid atau tidak.
Dalilnya ialah firman Allah 'Azza wa Jalla:
Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. [al-Thalaq 65:04]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment