Wednesday, March 11, 2009
PERLUKAH WANITA KE MASJID?
Sering kita dengar para ustaz menyatakan bahawa wanita tidak digalakkan ke masjid. Tetapi ada juga di kalangan muslimat yang bertanya tentang logiknya larangan ini. Ini kerana bagi mereka, kenapa hanya larangan ke masjid yang dicanang, tetapi tidak pula dicanang larangan ke tempat-tempat yang lain?
Kalau kita melihat kepada hukum solat berjemaah kepada wanita di masjid, kita akan dapati para ulamak sepakat menyatakan bahawa solat jemaah tidaklah wajib kepada kaum wanita. Ini ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla. Kita juga dapati sebahagian daripada mereka memakruhkan bagi wanita untuk ke masjid, terutamanya kepada para pemudi. Dan alasan yang biasa diberikan adalah kerana bimbangkan fitnah. Dan kita juga dapati bahawa mereka telah sepakat menyatakan bahawa tuntutan solat berjemaah kepada kaum wanita tidaklah sama seperti kepada kaum lelaki. Berkata Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu': “terdapat beberapa perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam hukum solat berjemaah, antaranya ialah: tuntutannya tidaklah sama seperti tuntutan kepada kaum lelaki”.
Kebanyakan ulamak pula mengaggap bahawa solat di rumah adalah lebih baik bagi kaum wanita berbanding di masjid. Pendapat mereka ini bersesuaian dengan Sabda Nabi s.a.w.: “…dan rumah kediaman mereka adalah lebih baik bagi mereka”. Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud.
Walau bagaimana pun, kita juga dapati bahawa para ulamak sepakat tidak mengharamkan mereka ke masjid. Berkata al-Imam Ibnul Jauzi: “Harus bagi seorang perempuan untuk keluar ke masjid untuk solat berjemaah bersama kaum lelaki” (Lihat: Ahkamun Nisa', m/s 36, cetakan pertama, Matbaah al-Halabi, Mesir, 1994).Bahkan ada di kalangan mereka yang menganggap bahawa elok juga bagi kaum wanita untuk datang solat berjemaah di masjid. Berkata al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla: “Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik” . Dan ini adalah pendirian mazhab Zohiri. Bagi mereka hadis yang menyatakan kelebihan solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja. Lihat al-Mufassal Fi Ahkamil Mar'ah, jilid 1, m/s 212.
Sebenarnya tidak ada nas yang jelas melarang wanita ke masjid, bahkan nas yang ada hanyalah menyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih baik. Nas ini adalah penutup kepada hadis yang menyatakan bahawa mereka perlu diberikan keizinan untuk ke masjid. Sabda Nabi s.a.w.: "Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid, dan (solat mereka di) rumah-rumah mereka adalah lebih baik". Hadis sohih riwayat Abu Daud, Kitabus Solah.
Dan terdapat juga kata-kata Siti Aisyah yang seolah-olah menunjukkan bahawa kaum wanita dilarang ke masjid. Aisyah berkata: “Kalaulah Rasulullah s.a.w. melihat apa yang telah dilakukan oleh wanita sekarang (zaman beliau), nescaya baginda akan melarang mereka (ke masjid), sebagaimana telah dilarang perempuan Bani Israil. Riwayat Imam Bukhari. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani: “..kata-kata Aisyah itu tidaklah mengubahkan hukum (yang sedia ada). Ini kerana beliau gantungkan (larangan) tadi dengan satu syarat yang tidak wujud, yang hanya berdasarkan sangkaan beliau sahaja. Perkataan beliau: “Kalaulah Rasulullah s.a.w. melihat” boleh (dijawab dengan) dikatakan bahawa baginda tidak melihatnya dan tidak melarangnya. Maka kekallah hukum (yang asal, iaitu tiada larangan). Bahkan Aisyah sendiri tidaklah secara jelas melarang, sekalipun perkataannnya itu menunjukkan bahawa beliau seolah-olah melarangnya. Lagipun Allah SWT telah pun mengetahui apa yang akan dilakukan oleh para wanita, dan Dia tidaklah mewahyukan kepada NabiNya untuk melarang mereka. Kalaulah apa yang mereka lakukan itu memerlukan dilarang mereka ke masjid, maka melarang mereka ke pasar-pasar adalah lebih utama. Lihat Fathul Bari, kitabul Azan, juz 2, m/s 445.
Kerana inilah mereka juga perlu diberikan keizinan untuk pergi solat berjemaah di masjid, walaupun pada malam hari. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar: "Berilah keizinan kepada wanita-wanita kamu untuk ke masjid pada malam hari". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Lihat: Ahkamun Nisa', m/s 39. Kaum wanita di zaman Rasulullah s.a.w. juga menghadiri solat berjemaah di masjid, dan Rasulullah s.a.w. tidaklah menghalang mereka. Bahkan dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah menyatakan bahawa kaum muslimat datang berjemaah solat subuh bersama Rasulullah s.a.w., dan mereka tidaklah dapat dicam kerana hari masih gelap (sekalipun sudah ada cahaya pagi). Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. pula, bukan sahaja datang ke masjid, bahkan mereka juga beriktikaf di masjid di bulan Ramadhan. Semua nas ini dengan jelas menunjukkan bahawa wanita harus untuk ke masjid dan kita tidak sepatutnya menghalang mereka.
Kalaulah kaum wanita dihalang ke masjid atas alasan fitnah, maka kenapa kita tidak menghalang anak-anak perempuan kita ke sekolah atas alasan yang sama? Tidakkah fitnah pergaulan bebas di sekolah lebih teruk daripada di masjid? Tidakkah gangguan yang bakal dihadapi mereka semasa ke sekolah atau ke kolej dan di kolej atau universiti itu lebih besar daripada ke masjid? Kenapakah mereka dihalang ke masjid yang berdekatan dengan rumah mereka, tetapi tidak dihalang ke kolej atau universiti yang jaraknya lebih jauh? Kenapakah anak-anak perempuan kita atau isteri-isteri kita dibenarkan ke tempat kerja, shopping kompleks, ke pasar-pasar bahkan ke semua tempat kecuali tempat yang paling mulia, iaitu rumah-rumah Allah? Kenapakah wanita Islam dihalang ke masjid-masjid, sedangkan wanita-wanita Kristian, Yahudi dan sebagainya tidak dihalang ke kuil atau gereja? Adakah wanita yang sedang beribadat di dalam masjid itu lebih buruk dan lebih besar fitnahnya berbanding dengan yang sedang menonton tv di rumah?
kalaulah kita ingin berbincang mengenai hukum wanita ke masjid , kita jangan hanya melihat kepada hukum solat berjemaah yang ditulis dalam kitab-kitab Fiqh. Ini kerana hukum tersebut hanya untuk hukum datang berjemaah ke masjid. Padahal kita juga perlu melihat bahawa masjidlah tempat penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai Islam. Kerana inilah Dr Yusof al-Qardawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik". Ini kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah bukan tertentu untuk golongan lelaki sahaja.
Bahkan terdapat hadis yang khusus yang menyatakan kelebihan belajar di masjid. Sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya melainkan mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala haji yang sempurna”. Hadis riwayat Tobarani dan al-Albani mengangapnya sohih. Lihat Sohih Targhib wat Tarhib, m/s 38.
Tambahan lagi, ramai di kalangan kita yang tidak mengajarkan anak isteri mereka mengenai Islam, samada kerana tidak mampu atau tidak mempunyai masa. Dan kalaulah kita sudah pun mengajarkan mereka agama sekalipun, adakah kita mampu memberikan tazkirah yang boleh mengetuk pintu hati mereka (seperti para ustaz di masjid) supaya mereka nampak keagungan Allah SWT dan ingin mendekatkan diri kepadaNya serta menyucikan hati nurani mereka?
Kalaulah dunia sekarang sedang memberikan kepada para wanita segala hak mereka samada dari sudut ekonomi, politik, sosial dsbg, kenapakah hak mereka untuk berada di rumah Allah dan mendekatkan diri mereka kepada Yang Maha Pencipta dihalang? Tidakkah hak ini tidak kurang pentingnya?
Walau bagaimana pun, wanita perlu meminta keizinan suami atau wali untuk ke masjid. Dan tidak patut bagi seorang ayah atau seorang suami untuk menghalang kecuali ada sebab yang munasabah. Dan mereka juga hendaklah menjaga adab-adab berikut:-
* Keluar dalam keadaan menutup aurat dan berpakaian sopan
* Tidak bersolek dan memakai bau-bauan
* Lebih elok dalam keadaan ditemani dengan mahram, suami, atau kawan-kawan.
Sebagai mengakhiri artikel ini, disertakan kata-kata Dr Yusof al-Qardhawi dalam perkara ini. Beliau berkata: "Sebahagian daripada kaum lelaki sekarang ini telah pun keterlaluan dalam masalah wanita, dan mereka langsung tidak menyokong fikrah harusnya wanita ke masjid, walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun ada dinding yang kukuh yang membataskan antara lelaki dan perempuan di masjid, yang mana dinding seperti ini tidak pun ada pada zaman Rasulullah s.a.w.. Katanya lagi: "Ini semua adalah disebabkan oleh kerana keterlaluan dan kurangnya kesedaran".
Sebagaimana seruan Syeikh Dr Yusuf Qardhawi: "Sesungguhnya saya tanpa segan menyeru supaya bukakanlah kepada para perempuan untuk ke rumah-rumah Allah, supaya mereka juga dapat mencari kebaikan, mendengar peringatan dan mempelajari agama. Keluar mereka ini sedikit sebanyak boleh memberikan kegembiraan kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat), selagi mana mereka keluar dalam keadaan bersopan, menutup aurat dan tanpa solekan yang diharamkan”.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
ana nak comment sedikit.mungkin ada sebab kenapa Aisyah mengatakan sedemikian. ini kerana wanita sekarang pergi ke masjid atas alasan yang berbeza sbgai contoh bukan untuk beribadat tetapi melakukan pkara lain.sdangkan msjid adalah tempat beribadah.memakai wangian yang boleh menggoda kaum laki.kerana itu fitnah terjadi.
ana suke g masjid...
salam... nk menyibuk juga.... Ana rasa setakat nk p surau kolej tu x de masalaah...surau is da best place for us untuk qiam, ngaji, study, mkn berjemaah, tenang kan hati, kelas arab, tempat berpolitik pun disurau..... tapi ramai org da silap tanggapan... that why masjid dan surau sepi je... di tempat ana. kadang-kadang muslimah lebih ramai dari muslimin... mane musllimin ye??? nasib baik ada ahli jemaah.... alhamdulillah...
Alhamdulillah...
masih banyak lg hati2 yg rindukan rumah2 Allah s.w.t...
tp ingt,bila seorang muslimah ke masjid,jaga setiap perilaku dirimu...
suara,wangi-wangian,pakaianmu,dan yg paling utama hatimu....
jgn bersuara sehingga kaum adam dapat mendengari suaramu di masjid@surau,hatta dirimu sedang mengalunkan ayat2 suci al-quran...
fitnah x mengenal erti kebaikan atau keburukan...jika kita merasakan kita x menimbulkan fitnah,maka kita jagalah hati mereka yg suka memfitnah....
jika manusia mengatakan cinta itu buta,maka fitnah itu lebih teruk dari buta...
wallahua'lam...
Assalamualaikum..
Ana setuju dengan pendapat enta tentang kenape menyatakn" seorang muslimah yang ke masjid akan menimbulkan fitnah tetapi kalau ke shopping kompleks, tidak pule dikatakan sebagai fitnah".. Kadangkala seseorang itu meletakkan dan menjalankan hukum dan syariat yang hanya menguntungkan diri mereka sahaja..
Sebagai seorang student, ana sangat galakkan sahabat2 semua untuk menghadirkan diri ke masjid2 atau surau2 di kampus masing2 kerana banyak manfaatnya yang boleh kita dapati dengan program2 usrah dan majlis ilmu yang diadakan. Sebagai seorang muslimah yang bakal menjadi seorang zaujah yang akan mendidik seorang anak agar menjadi individu muslim, maka ilmu agama perlulah dipenuhkan di dada sebagai persediaan. Di masjid dan surau lah merupakan sebuah pusat ilmu agama bagi student2 yang mungkin tidak mempelajari subjek2 agama di kampus.. Jadi wahai muslimah sekelian, gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu agama selain menimba ilmu fardhu kifayah.. Wallahua'lam
Post a Comment