Saturday, March 28, 2009
Masa Haid Dan Tempohnya (bahagian 2)
Kedua: Tempoh haid.
Para ilmuan juga berbeza pendapat dalam persoalan tempoh haid atau kadar masanya. Terdapat enam atau tujuh pendapat dalam persoalan ini. Berkata Imam Ibn al-Munzir rahimahullah:
Menurut satu pendapat: Tidak ada batas bilangan hari bagi tempoh minima atau maksima (haid).
Saya (pengarang) berkata, ini adalah sepertimana pendapat Imam al-Darimi yang lalu dan ia adalah pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Ini adalah pendapat yang benar kerana didokongi oleh al-Qur’an dan al-Sunnah serta pemikiran yang sihat. Sebab-sebabnya seperti berikut:
Pertama:
Firman Allah Ta’ala:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. [al-Baqarah 2:222]
Dalam ayat di atas Allah menjadikan “suci” sebagai syarat penyudah kepada tegahan. Allah tidak menjadikan tempoh sehari semalam, tiga hari atau lima belas hari sebagai syarat penyudah tegahan. Ini menunjukkan bahawa sebab timbulnya hukum ialah bermula dan berakhirnya haid, sehingga apabila suci daripada haid maka hilanglah hukum-hukum yang berkaitan dengan haid.
Kedua:
Dalam Shahih Muslim tercatit sebuah hadis yang sahih di mana Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada ‘A’isyah radhiallahu ‘anha yang di saat itu sedang berihram untuk umrah dan didatangi haid:
“Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang berhaji kecuali jangan kamu bertawaf di al-Bait (Ka’abah) sehingggalah kamu suci.” ‘A’isyah berkata: “Maka pada hari menyembelih aku telah suci….” [Shahih Muslim – no: 1211 (Kitab al-Haj)]
Dalam Shahih al-Bukhari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada ‘A’isyah radhiallahu 'anha:
“Tunggulah maka apabila kamu telah suci maka keluarlah ke Tan’im.” [Shahih al-Bukhari – no: 1787 (Kitab al-Haj)]
Dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan “suci” sebagai syarat penyudah tegahan. Baginda tidak menetapkan apa-apa batas masa atau tempoh tertentu. Ini membuktikan bahawa hukum haid ditentukan dengan bermula dan berakhirnya haid.
Ketiga:
Sesungguhnya perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid yang dilakukan oleh (sebahagian) ahli fiqh tidak terdapat dalilnya di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Padahal ini adalah persoalan penting yang sangat berhajat kepada penetapan daripada dua sumber tersebut.
Seandainya penetapan tempoh ini termasuk daripada hukum fiqh bagi umat beribadat kepada Allah, nescaya Allah dan Rasul-Nya secara terang dan jelas akan menerangkannya. Ini sebagaimana hukum-hukum fiqh yang lain seperti solat, puasa, nikah, talak, pesaka dan sebagainya.
Allah dan Rasul-Nya telah memperincikan bilangan solat, waktu-waktunya, rukuknya dan sujudnya; Zakat, harta-hartanya, nisab-nisabnya, kadarnya dan tempat ditunaikannya; Puasa, tempoh dan waktunya; Haji dan seterusnya.
Allah dan Rasul-Nya juga telah memperincikan adab-adab makan, minum, tidur, jima’, duduk, masuk-keluar rumah, membuang hajat sehinggalah kepada bilangan batu-batu untuk beristinjak dan pelbagai lagi perkara-perkara kecil yang lain.
Ini semua termasuk kesempurnaan agama Allah dan nikmat-Nya ke atas orang-orang yang beriman.
Firman Allah:
Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu. [al-Nahl 16:89]
Firman Allah:
Bukanlah ia (al-Qur’an) cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu. [Yusuf 11:111]
Apabila perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid tidak terdapat dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, jelaslah bahawa ia sebenarnya tidak berhajat kepadanya. Yang dihajatkan, atau yang dijadikan syarat ialah kewujudan haid itu sendiri pada seorang wanita. Hukum-hukum syari’at bergantung kepada wujud atau tidaknya haid, bukan tempoh masa haid.
Dalam ertikata lain, tidak wujudnya hukum perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah menjadi bukti bahawa perkiraan tersebut tidak memberi apa-apa manfaat atau ilmu.
Sesungguhnya segala hukum syara’ tidak boleh ditetapkan melainkan dengan dalil dari syara’ sendiri iaitu daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, atau ijma’ (kesepakatan) yang maklum (diketahui) atau qiyas (analogi) yang sahih.
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebut sebuah kaedah yang amat penting:
Dari apa yang dikenali sebagai haid, Allah telah kaitkan dengannya beberapa hukum dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah tidak menentukan baginya tempoh masa minima dan tempoh masa maksima. Allah juga tidak menentukan tempoh masa suci antara dua haid. Sedangkan perkara-perkara ini adalah umum terhadap umat dan mereka berhajat untuk mengetahuinya.
Dari sudut bahasa, ia (al-Qur’an dan al-Sunnah) tidak membezakan antara satu tempoh dengan satu tempoh yang lain. Maka sesiapa yang menentukan satu tempoh tertentu maka sesungguhnya dia menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah. [al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam biha, ms 35]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment