Monday, March 2, 2009

Bolehkah Wanita Berdakwah Melalui Nashed ? - part 1


Umat Islam terutamanya para muda mudi amat memintai muzik dan lagu. Para remaja Islam dari kalangan lelaki dan wanita juga tidak terkecuali dari menjadi peminat muzik ini. Walau bagaimanapun, mereka mengalihkan minat itu kepada dendangan lagu-lagu nasyid yang liriknya membawa kepada kebaikan dan kesedaran agama.

Tidak dapat dinafikan, banyak juga nasyid-nasyid ini yang dilihat menyimpang dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya yang asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar kepada puja-puji wanita dan kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock biasa hanyalah kerana ia diadun sedikit dengan menyebut nama-nama Allah sekali sekala, kalimah Islam atau apa-apa elemen Islam.

Saya akan menulis lanjut tentang hal ini kemudian, InshaAllah. Dalam penulisan ini, saya ingin mengajak pembaca melihat peranan kaum wanita muslimah dalam industri nasheed ini. Adakah ianya halal atau sebaliknya?

Suara Wanita

Majoriti ulama berfatwa suara wanita bukanlah aurat. Dalilnya mudah iaitu

أنَّ رسول الله ـ صلَّى الله عليه وسلَّم ـ قال: "يا معشر النساء تصدقن وأكثرن الاستغفار؛ فإنِّي رأيتكنَّ أكثر أهل النار، فقالت امرأة جزلة منهنَّ: وما لنا يا رسول الله أكثر أهل النار؟ فقال: تكثرن اللعن، وتكفرن العشير"..

Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata : wahai seluruh kaum wanita, bersedeqah dan banyakkan istighfar, sesungguhnya aku melihat wanita adalah majority ahli neraka. Maka berkatalah seorang wanita : Mengapa kami menjadi majority ahli neraka ya Rasulullah? : rasul menjawab : wanita banyak yang melaknati dan mencela orang lain serta mengingkari kebaikan suaminya.." (Riwayat Muslim)

Saya bukan ingin mengulas isi kandungan hadith itu, tetapi ingin membawakan bukti bahawa suara wanita dalam keadaan biasa bukanlah aurat. Pertanyaan secara langsung wanita itu membuktinya. Selain hadith ini, banyak lagi hadith-hadith lain yang membuktikan suara wanita bukan aurat.

Hasilnya, pandangan terkuat dalam mazhab Hanafi, yang muktamad dalam Maliki, Syafie dan Hanbali menganggap suara wanita bukanlah aurat.

Amaran Allah

Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan hal ini apabila menyebut :-

فَلاَ تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً

Ertinya : Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandngan dan tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)

Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan dipeerdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini ( Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137 ; )

Imam As-Suddi berkata : larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)

Berdasarkan dalil ayat ini, apa yang boleh saya fahami adalah nasheed wanita juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita. Ia adalah harus.

0 comments: