Tuesday, March 3, 2009
Kesamarataan Hak : Lelaki & Wanita....
Isu tuntutan kesamarataan hak oleh wanita dalam kehidupan pernah dilaungkan begitu hangat di suatu ketika dahulu, terutamanya di ketika Amina Wadud cuba menggemparkan dunia Islam dengan menjadi imam solat Jumaat bagi lelaki. Tidak dinafikan, ia masih lagi mempunyai pendokong dan penyokong yang ramai, mungkin juga bertambah ramai hari demi hari, tahun demi tahun, selari dengan melebarnya keterhakisan ilmu Islam dalam diri wanita Islam dan masyarakat. Selari juga dengan terhakisnya keyakinan terhadap kebijaksanaan Allah SWT mengatur alam ciptaanNya sendiri.
Setitik ilmu yang diperolehi dari universiti dan pembacaan, beberapa kejayaan duniawi di medan kerjaya dan universiti menjadikan terdapat para wanta yang tertipu dengan kebijaksanaan aqal mereka. Tanpa sedar, ada yang menyangka aqalnya lebih bijak dari hukum yang telah digazetkan di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Dijadikan hujah-hujah aqal dan hak asasi sebagai hujah meraih simpati dan sokongan lebih ramai masyarakat.
Sebahagian yang lain pula menafikan mereka menolak hukum quran dan hadith, tapi yang mereka cabar dan tolak adalah pentafsiran para ulama dari kalangan lelaki yang 'berat sebelah' menurut mereka.
Sebahagian hujjah aqal yang disertakan pula amat biadap terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW. Seperti mengatakan hukum Islam berat sebelah kerana di fahami dari aqal seorang lelaki iaitu Muhammad dan diteruskan oleh para sahabat baginda dan seterusnya para ulama Islam yang majoritinya dari kalangan lelaki.
Sebelum itu, ketahuilah Islam telah menaikkan taraf wanita dengan begitu tinggi terutamanya jika dibandingkan dari apa yang berlaku sebelum Islam dan juga apa yang ada di barat hari ini. Tiada perbezaan untuk meraih syurga Allah dalam banyak perkara, Cuma ada beberapa amalan yang dilaksanakan dalam bentuk berlainan, tetapi hasilnya dan penerimaan Allah SWT tetap sama iaitu berdasarkan kualitinya.
Kedua-dua lelaki dan wanita diperintah untuk menuntut ilmu. Kedua-duanya equal dalam hal ini. Kedua-duanya diperintah solat dan puasa, cuma sedikit keringanan diberi kepada wanita dan beberpaa perbezaan semasa pelaksanaannya. Walaubagaimanapun, ia langsung tidak mengurangkan peluang wanita untuk meraih syurga Allah dan seluruh nikmatNya.
وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتَ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُوْلَـئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ
Ertinya : Dan barangsiapa yang melakukan amal soleh dari kalangan lelaki dan wanita dalam keadaan mereka beriman, mereka itulah yang akan memasuki syurga.." ( An-Nisa : 124 )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment