Saturday, April 4, 2009

Perkara-Perkara Yang Berlaku Ketika Haid... (bahagian 1)


Pertama: Perbezaan masa haid.

Kadangkala berlaku perbezaan masa haid seorang wanita. Perbezaan ini wujud dalam dua bentuk:

1. Tempoh mengalirnya bertambah atau berkurang daripada kebiasaan. Contohnya ialah seorang wanita yang kebiasaannya mengalami haid selama enam hari, tetapi berlarutan selama tujuh hari. Atau seorang wanita yang kebiasaannya mengalami haid selama tujuh hari, lalu dia suci dalam masa enam hari sahaja.[1]
2. Permulaan masa mengalirnya (putaran haid) menjadi awal atau lambat daripada kebiasaan. Contohnya seorang wanita yang kebiasaannya datang haid pada akhir bulan, lalu dia melihat haid hanya datang pada awal bulan. Atau kebiasaannya datang haid pada awal bulan lalu dia hanya melihatnya di akhir bulan.

Sesungguhnya para ilmuan berbeza pendapat dalam dua kes di atas. Namun pendapat yang terkuat dan benar ialah apabila seorang wanita melihat darah mengalir keluar bererti dia haid dan apabila darah berhenti mengalir bererti dia suci (tidak haid). Penentuan ini tidak disyaratkan oleh perbezaan masa sama ada lebih lama atau singkat, sama ada lebih awal atau lewat. Dalil-dalil bagi hal ini telah dikemukakan dalam bab yang sebelumnya. Ini merupakan mazhab Imam al-Syafi’e rahimahullah dan dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah serta dikuatkan lagi oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni, jld. 1, ms. 353:

Jika sesuatu perkara itu berlaku secara lazim dan memerlukan penjelasan (hukum-hukumnya), pasti akan dijelaskan (hukum-hukumnya) oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tanpa melengah-lengahkannya. Ini kerana sesuatu yang memerlukan penjelasan tidak boleh dilengah-lengahkan.

Para isteri Rasulullah dan selainnya memerlukan penjelasan akan persoalan ini pada setiap masa dan baginda tidak pernah lalai daripada memberikan penjelasan tentangnya.

Tidak pernah lahir daripada baginda sesuatu yang wujud secara lazim melainkan diikuti dengan penjelasannya, kecuali dalam persoalan darah istihadah.[2]



Kedua: Cecair yang kekuningan atau kekeruhan.

Kadangkala bagi seorang wanita mengalir keluar daripadanya cecair (discharge) yang:

1. Berwarna kekuningan seperti air yang keluar akibat luka. Ini dikenali sebagai Sufrah.
2. Berwarna kekeruhan antara kuning dan hitam. Ini dikenali sebagai Kudrah.

Sufrah atau Kudrah, jika ia mengalir keluar ketika sedang haid atau bersambungan di akhir masa haid, sebelum suci, maka ia dikategorikan sebagai haid dan diwajibkan ke atasnya hukum-hukum yang bersamaan dengan darah haid biasa.

Jika ia mengalir keluar secara terpisah daripada masa haid, yakni dalam masa suci, maka ia tidak dikategorikan sebagai haid.



Dalilnya adalah kenyataan Umm ‘Athiah radhiallahu 'anha:

“Kami tidak mengira (cecair yang berwarna) kekeruhan dan kekuningan (jika ia keluar) selepas suci sebagai apa-apa (yakni bukan haid).” [Sunan Abu Daud – no: 246 (Kitab al-Thaharah) dengan sanad yang sahih][3]

Imam al-Bukhari rahimahullah menyusun hadis ini dalam kitab sahihnya di bawah bab: Bab al-Sufrah dan al-Kudrah pada hari-hari selain haid. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di dalam kitabnya Fath al-Bari berkata:

al-Bukhari mengisyaratkan dengan demikian bertujuan menyelaraskan antara hadith ‘A’isyah (yang bermaksud): “sehingga kamu semua melihat sesuatu seperti benang putih” dengan hadis Umm ‘Athiah di atas.

Hadis ‘A’isyah merujuk kepada seseorang yang melihat al-Sufrah dan al-Kudrah pada hari-hari haid, manakala hadis Umm ‘Athiah merujuk kepada hari-hari selain haid.



Hadith ‘A’isyah radhiallahu 'anha yang dimaksudkan adalah apa yang disebut oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab sahihnya:

Sesungguhnya para wanita telah mengutus kepada ‘A’isyah bekas yang ada padanya kapas yang padanya ada al-Sufrah, maka ‘A’isyah menjawab:

“Jangan kamu semua segera (bersuci) sehingga kamu semua melihat sesuatu seperti benang putih (yang keluar selepas berhenti darah bercampur al-Sufrah tersebut).”

2 comments:

Anonymous said...

salam ukhwah..
blh x postkan plak tentang larangan2 ketika wanita haid.minta maaf la dgn permintaan ni,cuma rasanya suudara punya buku yg lengkap pasal wanita dan haid ni.syukran.

anaksabah.

Muhammad Alif said...

insya'Allah....pasal larangan nya, ana akan post kan akan dtg...kta blaja ikut peringkat2nya dahulu ya