Saturday, April 18, 2009

Hukum-Hukum Haid (bahagian 6)


Kelapan: Dikira Bilangan Talak Dengan Haid.

Apabila seorang suami menceraikan isterinya selepas menyetubuhinya, maka wajib ke atas isteri tersebut menghitung iddahnya dengan kedatangan tiga kali haid yang sempurna. Syarat ini adalah bagi isteri yang masih didatangi putaran haid dan tidak hamil. Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali haid. [al-Baqarah 2:228]



Syarat menghitung iddah sepertimana di atas memiliki beberapa pengkhususan bagi kes yang berbeza-beza:

Pertama:

Jika isteri yang diceraikan sedang hamil, hitungan iddahnya adalah dengan kelahiran anak tanpa mengira sama ada tempoh hamilnya adalah panjang atau pendek. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh iddahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya. [al-Thalaq 65:04]

Kedua:

Jika isteri yang diceraikan tidak memiliki putaran haid, seperti kanak-kanak yang belum haid, orang tua yang putus haid, wanita yang dibuang rahimnya kerana sebab perubatan dan sebagainya, maka hitungan iddahnya ialah tiga bulan. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan; dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. [al-Thalaq 65:04]



Ketiga:

Jika isteri yang diceraikan memiliki putaran haid tetapi ia terhenti kerana faktor yang diketahui seperti sakit atau sedang menyusu, maka dia wajib menunggu sehingga haidnya datang kembali dan menghitungnya dengan 3 putaran haid yang sempurna. Seluruh proses menunggu dan 3 putaran haid tersebut adalah tempoh iddah baginya, sekalipun ia mengambil masa yang agak lama.

Bagi kes di atas, jika isteri yang terhenti haidnya kembali sembuh atau selesai menyusu namun haidnya tetap tidak datang kembali, maka iddahnya adalah selama 12 bulan (setahun) bermula dari saat kesembuhannya atau akhir menyusu. Inilah pendapat yang benar lagi selari dengan kaedah-kaedah syarak kerana kes ini dikategorikan sebagai wanita yang tidak didatangi haid dengan sebab yang tidak diketahui. Tempoh iddah 12 bulan merangkumi 9 bulan masa mengandung sebagai langkah berhati-hati kerana ia adalah tempoh hamil yang lazim dan 3 bulan sebagai bilangan iddah.

Keempat:

Jika isteri yang diceraikan belum bersama-samaan dan bersetubuh dengan suami, maka baginya tidak ada hitungan iddah. Dalilnya ialah firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya (bersetubuh), maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang iddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya. [al-Ahzab 33:49]

0 comments: