Monday, April 6, 2009

Hukum-Hukum Haid (bahagian 1)


Terdapat beberapa hukum yang wajib ke atas wanita ketika sedang haid. Berikut dikemukakan sebahagian daripadanya yang terpenting:

Pertama: Solat.

Diharamkan solat ke atas wanita yang sedang haid, sama ada solat sunat mahupun solat fardhu. Bahkan tidak sah jika dia tetap melaksanakannya.

Namun terdapat satu pengecualian, iaitu apabila dia sempat memperoleh satu rakaat solat fardhu dalam waktunya, sama ada di awal waktu atau akhir waktu, maka wajib ke atasnya untuk melaksanakan solat fardhu tersebut.


Contoh: Memperoleh satu rakaat di awal waktu.

Seorang wanita didatangi haid selepas masuk waktu Maghrib. Akan tetapi antara saat masuk waktu Maghrib dan saat dia didatangi haid, wujud satu tempoh masa yang, paling minima, sempat untuk dia melaksanakan rakaat pertama solat Maghrib.

Maka wajib baginya mengqadha solat Maghrib tersebut apabila suci. Ini kerana pada asalnya dia dikira sempat mendapat satu rakaat daripada solat Maghrib tersebut sebelum datang haid.


Contoh: Memperoleh satu rakaat di akhir waktu.

Seorang wanita suci daripada haid sebelum terbit matahari. Akan tetapi antara saat dia suci dan saat terbit matahari wujud satu tempoh masa yang, paling minima, sempat untuk dia melaksanakan rakaat pertama solat Subuh.

Maka wajib baginya mengqadha solat Subuh tersebut apabila dia selesai bersuci (mandi wajib). Ini kerana pada asalnya dia dikira sempat mendapat satu rakaat daripada solat Subuh tersebut apabila tamat haidnya.



Jika tempoh masa yang wujud di awal waktu bagi wanita yang didatangi haid atau di akhir waktu bagi wanita yang tamat haid adalah terlalu singkat sehingga tidak mungkin melaksanakan minima satu rakaat solat, maka tidak wajib untuk baginya melaksanakan solat tersebut.


Dalil bagi seluruh hukum ini ialah sabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam:

“Sesiapa yang mendapat satu rakaat dari solat maka sesungguhnya ia telah mendapat solat.” [Shahih al-Bukhari – no: 580 (Kitab waktu-waktu solat) dan Shahih Muslim – no: 607 (Kitab al-Masjid)]

Apabila seorang wanita tamat haidnya dan sudah bersuci lalu dia berjaya memperoleh satu tempoh masa dalam waktu Asar, adakah wajib baginya untuk melaksanakan kedua-dua solat Zohor dan Asarnya (jamak takhir)? Atau sesudah bersuci dia berjaya memperoleh satu tempoh masa dalam waktu Isyak, adakah wajib baginya untuk melaksanakan kedua-dua solat Maghrib dan Isyak (jamak takhir)?

Terdapat perselisihan pendapat dalam persoalan ini. Namun yang benar dia hanya wajib melaksanakan solat yang berada dalam waktu tersebut sahaja. Iaitu solat Asar dalam waktu Asar (tanpa menjamak solat Zohor), solat Isyak dalam waktu Isyak (tanpa menjamak solat Maghrib).


Dalilnya adalah sabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam:

“Apabila seseorang kamu memperoleh satu sujud daripada solat Asar sebelum terbenam matahari, maka hendaklah dia menyempurnakan solatnya.” [Shahih al-Bukhari – no: 556 (Kitab waktu-waktu solat)]

Dalam hadis di atas Rasulullah tidak berkata: “Maka sesungguhnya dia telah mendapat solat Zuhur dan Asar” atau: “Wajib solat Zuhur ke atasnya.”

Pendapat ini juga diperkuatkan oleh sebuah kaedah usul yang menyebut:

Pada asalnya tidak ada hukum yang ditanggung(oleh manusia kecuali yang dipertanggungkan oleh syara’).

Pendapat ini merupakan mazhab Abu Hanifah dan Malik sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya Majmu’ Syarh al-Muhazzab.

4 comments:

nasuha said...

salam.maaf bertanya,agak confuse.dalam artikel "hukum mengqadha'kan solat,disebutkan:

2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'.
"Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)

tapi,artikel ni menyebutkan:

Apabila seorang wanita tamat haidnya dan sudah bersuci lalu dia berjaya memperoleh satu tempoh masa dalam waktu Asar, adakah wajib baginya untuk melaksanakan kedua-dua solat Zohor dan Asarnya (jamak takhir)? Atau sesudah bersuci dia berjaya memperoleh satu tempoh masa dalam waktu Isyak, adakah wajib baginya untuk melaksanakan kedua-dua solat Maghrib dan Isyak (jamak takhir)?

Terdapat perselisihan pendapat dalam persoalan ini. Namun yang benar dia hanya wajib melaksanakan solat yang berada dalam waktu tersebut sahaja. Iaitu solat Asar dalam waktu Asar (tanpa menjamak solat Zohor), solat Isyak dalam waktu Isyak (tanpa menjamak solat Maghrib).

yg ana faham, dua situasi ni sama.tapi kenapa hukumnya berbeza?@berdasarkan pendapat ulama yg berbeza?

Muhammad Alif said...

salam....dalam artikel sebelum ini, hukum tersebut berdasarkan mazhab imam syafie, manakala hukum dalam artikel ni berdasarkan mazhab imam abu hanifah dan imam malik..

terpulang pd saudari ingin mengikut yg mana pun...tp ada yg mengatakan,ikutlah sesuatu yg mempunyai dalil2 dan nas2 yg rojih, iaitu dalil2 dan nas2 yg paling tepat...tp jika kedua2nya ade nas dan dalil yg rojih, pilih lah utk beriman salah 1 dari itu...jgn amalkan kedua2nya...
syukran kerana mentionkn perkara tersebut...

Anonymous said...

Assalamualaikum..kepada nasuha, sekadar pengongsian..wajib bagi perempuan mengqada'kan solat zohor juga sekiranya didapati suci pada waktu asar walaupun sedikit tempohnya..hal ini di namakan Muqarin yakni dekat..wallahualm..

Muhammad Alif said...

benar kata anonymous...
dalam situasi begini,kita perlu ikut pendapat yg lebih rojih..bkn ikut pendapat yg mudah dari kalangan imam2 mazhab...

tp, islam itu sebenarnya mudah bg org2 yg beriman...

Jadikanlah sabar dan shalat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu' (beriman)[al-baqarah:45]

wallahu'alam...........