Saturday, April 11, 2009

Hukum-Hukum Haid (bahagian 3)




Ketiga: Puasa.

Diharamkan bagi wanita yang sedang haid untuk berpuasa, sama ada puasa sunat mahupun puasa fardhu. Jika dia tetap berpuasa maka tidak sah puasanya.

Akan tetapi dia wajib mengqadha puasa fardhunya berdasarkan kenyataan ‘A’isyah radhiallahu 'anha:

“Apabila yang demikian itu (haid) menimpa kami, maka kami disuruh (oleh Rasulullah) mengqadha puasa namun tidak disuruh untuk mengqadha solat.” [Shahih Muslim­ – no: 335 (Kitab al-Haid)]

Berikut beberapa permasalahan khusus antara puasa dan wanita yang haid:

1. Apabila seorang wanita sedang berpuasa lalu dia didatangi haid, maka puasanya menjadi batal sekalipun waktu berbuka (waktu Maghrib) sudah sangat hampir. Dia wajib mengqadha puasa tersebut jika ia adalah puasa fardhu.
2. Apabila seorang wanita sedang berpuasa lalu dia merasa akan didatangi haid sebelum waktu berbuka (waktu Maghrib), maka teruskan menyempurnakan puasanya itu. Menurut pendapat yang benar,[2] puasanya tidak batal kerana sesungguhnya darah masih berada di dalam badan dan tidak ada hukum baginya (selagi ia tidak mengalir keluar).

Ini sebagaimana kes seorang wanita yang bermimpi seperti seorang lelaki lalu datang menemui Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bertanya, adakah dia perlu mandi wajib? Baginda menjawab: “Ya, jika dia melihat ada air (mani yang mengalir keluar).”

Dalam hadis di atas Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam menghubungkan hukum mandi wajib dengan kewujudan air mani dan bukan masa. Maka demikianlah juga dengan haid, dilaksanakan hukum-hukumnya berdasarkan keluarnya haid, bukan berdasarkan masanya.[3]

3. Apabila seorang wanita didatangi haid hanya sekadar tempoh masa yang pendek selepas terbitnya fajar (masuk waktu Subuh), maka puasanya tetap tidak sah.
4. Apabila seorang wanita tamat haidnya sebelum terbit fajar (belum masuk waktu Subuh), maka dia boleh berpuasa dan puasanya adalah sah sekalipun dia belum sempat mandi wajib.

Ini sebagaimana hukum orang berjunub yang berpuasa padahal dia tidak mandi wajib kecuali selepas terbit fajar (masuk waktu Subuh). Puasanya tetap sah berdasarkan hadis ‘A’isyah radhiallahu 'anha:

“Pernah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bangun pagi dalam keadaan junub bukan kerana bermimpi. Kemudian baginda berpuasa.” [Shahih al-Bukhari – no: 1932 (Kitab al-Siyam)]





Keempat: Tawaf di Ka’bah.


Diharamkan bagi wanita yang sedang haid untuk tawaf, sama ada tawaf sunat mahupun tawaf fardhu. Jika dia tetap tawaf maka tidak sah tawafnya. Ketika mengikuti rombongan haji bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ‘A’isyah radhiallahu 'anha didatangi haid, lalu beliau bertanya hukumnya. Rasulullah menjawab:

“Lakukan apa yang telah dilakukan oleh orang haji kecuali jangan bertawaf di Ka’abah sehingga kamu bersuci.” [Shahih Muslim – no: 1211]



Akan tetapi diharuskan melaksanakan lain-lain amalan daripada haji dan umrah seperti sa’e antara Safa dan Marwah, wuquf, bermalam di Mudzalifah dan Mina, melontar jamrah dan sebagainya.

Apabila seorang wanita telah menyempurnakan ibadah haji dan umrah lalu dia didatangi haid yang berterusan sehingga saat hendak balik ke negerinya, dia boleh balik tanpa melakukan tawaf wida’ (tawaf selamat tinggal). Ini berdasarkan hadis Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh:

“Orang ramai disuruh untuk mengakhiri pertemuan mereka di al-Bait (Ka’bah dengan tawaf), kecuali (suruhan ini) diringankan daripada wanita yang sedang haid.” [Shahih Muslim – no: 1328 (Kitab al-Haj)]



Adapun amalan datang ke pintu Masjid al-Haram dan berdoa bagi wanita haid yang hendak balik ke negerinya, maka ia tidak berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perlu diingatkan bahawa setiap ibadat hendaklah berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Bahkan amalan di atas bertentangan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah, di mana apabila Safiyah radhiallahu 'anha didatangi haid sesudah tawaf ifahad, baginda bersabda kepada beliau: “Maka hendaklah dia beransur pergi.” [Shahih Muslim – no: 1211 (Kitab al-Haj)]

Baginda tidak menyuruh Safiyah pergi ke pintu masjid padahal jika yang sedemikian adalah amalan yang disyari‘atkan pasti baginda akan menjelaskannya.

Demikian hukumnya bagi tawaf wida’ dan wanita yang didatangi haid. Adapun tawaf wajib bagi ibadah haji dan umrah, ia tidak gugur daripada wanita yang didatangi haid. Dia tetap wajib melaksanakannya apabila sudah suci.

2 comments:

Anonymous said...

salam ukhwah..

syukran dan tahniah dgn info2 yg ada dlm blog ni.terasa plak bila sy sendiri seorang muslimah terkurang info tentang ni berbanding saudara, walaupun sy mengamalkan tetapi tidak secara lebih terperinci.

"aramaiti..."
-anaksabah.

Muhammad Alif said...

salam ukhwah...

syukran kembali...

Allah mengetahui apa-apa yang di hadapan mereka dan di belakang mereka, dan mereka tidak mengetahui apa-apa dari ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki-Nya(al-baqarah:255)

dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit (al-isra':85)

ilmu itu milik Allah...Dia berhak memberikannya pd sesiapa yg dikehendakiNYA....apa yg ana tau mgkin nti x tau dan apa yg nti tau mgkin ana x tau....wallahua'lam...