Monday, February 2, 2009

Jangan salahkan musuh


“Jangan salahkan musuh. Itu memang kerja mereka. Kita sendirilah yang bersalah kerana lemah dalam membina benteng diri. Lemah dalam mengisi iman dan taqwa di dalam hati. Lemah, kerana kita tidak membaiki diri dari segala sifat-sifat mazmumah”

Musuh-musuh Islam memang tidak pernah sepi daripada menyerang dan menggugat akidah umat Islam. Mereka berusaha dengan pelbagai cara, kaedah dan saluran. Mereka menggunakan saluran politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan, hiburan, media masa, filem dan sebagainya. Kalaupun tidak sampai memusnahkan akidah mereka tetap mahukan agar umat Islam ini sekurang-kurangnya bersikap acuh tak acuh kepada agamanya.

Mereka sudah cukup berpuas hati sekiranya umat Islam ini bersikap ‘toleransi’ terhadap agama dalam erti kata tidak meninggalkannya secara total dan tidak pula menganutnya secara total. Agama dipilih mengikut selera dan dipraktikkan dalam acara tertentu sahaja. Agama hanya dijadikan aktiviti bermusim dan sebagai agenda persatuan atau pertubuhan untuk dimuatkan di dalam laporan tahunan. Kini umat Islam berdepan dengan masalah yang sangat ketara bahawa agama hanya sekadar pada nama,tanpa penghayatan dan bukan lagi menjadi suatu cara hidup.

Cuba kita teliti dan hitung, dari mula bangun tidur hingga kembali kepada tidur, banyak mana ajaran Islam yang kita hayati. Banyak mana Islam dijadikan panduan dalam segala urusan hidup. Banyak mana kita membawa Tuhan bersama dalam mengendalikan segala urusan harian. Kalau tidak ada black metal, kehidupan kita tetap jauh dari Tuhan. Kalau bukan kerana black metal, hati kita tidak ada rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Hati kita tetap cuai dan lalai bahkan sangat menderhakai Tuhan. Sebab itu jangan salahkan musuh. Itu memang kerja mereka. Kita sendirilah yang bersalah kerana lemah dalam membina benteng diri. Lemah dalam mengisi iman dan taqwa di dalam hati. Lemah, kerana kita tidak membaiki diri dari segala sifat-sifat mazmumah. Lemah dalam melawan nafsu serakah. Lemah dalam membawa Tuhan dalam urusan hidup. Akhirnya Tuhan biarkan umat Islam diratah-ratah, dibuli dan diperkotak-katikkan oleh musuh. Ini belum lagi diperhitungkan untung nasib di akhirat kelak. Entah di Neraka mana yang kita ini bakal dihumban lantaran terlalu amat derhaka kepada Allah SWT. Betapa tidak, jauh sekali umat Islam ini berjuang untuk membangunkan empayar, menguasai bumi yang merupakan milik Tuhan. Malah membenteng diri daripada ditembusi akidah dan budaya kufar pun tidak berupaya.

Apabila Rasulullah SAW diutus, masyarakat yang dihadapi baginda SAW itu bukan sahaja mereka musyrik dan kufar, bahkan mereka juga turut dilanda masalah sosial yang amat dahsyat. Sebut saja apa jenis kejahatan manusia, semuanya mereka lakukan terang-terangan tanpa segan silu. Namun sejarah telah membuktikan, dalam tempoh yang singkat Rasulullah berjaya menukar sejahat-jahat manusia kepada ‘khairunnas’ - sebaik-baik manusia. Manusia adalah makhluk ciptaan Tuhan yang fitrahnya sama saja di zaman mana pun mereka berada dan di mana pun mereka berada, bangsa apa dan keturunan apa pun. Bagaimana dan ubat apa yang dipakai oleh Rasulullah SAW, maka cara dan ubat yang sama juga yang mesti digunakan untuk mengubati penyakit manusia, iaitu:

Pertama: Rasulullah SAW menanamkan iman. Mengetahui Rukun Iman bukan bererti sudah beriman, mungkin itu sekadar boleh mengesahkan iman semata-mata. Keimanan yang berjaya ditanam ke dalam hati masyarakat waktu itu seperti digambarkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman, apabila disebut nama Allah gementar hati mereka.” Begitu takut dan gerun kepada Tuhan hingga gementar hati, yang mereka tidak lagi takut selain daripada Allah SWT. Mereka bukan saja tidak terjejas atau tidak terusik hatinya oleh sebarang budaya, bahkan mereka sendiri sanggup memperjuangkan Tuhan dan agama-Nya hingga tergadai nyawa.

Kedua: Rasulullah SAW mencanangkan kehidupan akhirat yang jauh lebih baik dan utama. Sebenarnya tidak ada tandingan dan bandingan tentang kehidupan akhirat. Bermula dari alam barzakh maka bermulalah era baru kehidupan manusia yang bakal ditempuh adalah suatu alam baru tanpa dapat difikirkan dan dikhayalkan. Tiada sebarang imaginasi yang dapat mencapai alam akhirat. Segala-galanya adalah alam rasa yang akal tidak mampu untuk berfungsi sedikit pun. Kehidupan dunia ini umpama mimpi saja, seolah-olah bukan realiti jika dinisbahkan dengan kehidupan di akhirat. Satu hari di akhirat menyamai seribu tahun di dunia. Kehidupan yang kekal abadi tanpa penghujungnya. Usia kita yang sekitar 60 atau 70 tahun di dunia ini kalau dikira pada perjalanan masa di akhirat hanyalah beberapa minit saja.


Menyedari hakikat bahawa hidup ini amat singkat berbanding akhirat yang kekal abadi itu, tentulah tidak ada manusia waras yang sanggup mensia-siakan hidup ini begitu sahaja. Apatah lagi, sudah tentulah takut untuk berbuat dosa dan maksiat walau sedetik. Tentulah tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya untuk kesedapan yang sekelumit ini. Tentulah tidak akan sampai menderhakai Tuhan hanya takut kepada penderitaan yang sekelumit ini. Tentulah tidak sanggup berlalai-lalai dengan kehidupan sekejap ini sehingga terpaksa menanggung derita yang amat panjang lagi dahsyat, dan terlepas dari nikmat syurga yang tidak dapat dibayangkan. Hadis Qudis ini menjadi pegangan hidup mereka dalam berbuat apa saja, iaitu: “Janganlah kamu pandang kecilnya kesalahan yang kamu buat, pandanglah kepada siapa kamu berbuat iaitu kepada Allah.” Sekecil-kecil kejahatan ada dosa dan nerakalah balasannya. Mereka menjadi orang yang memburu dan berlumba-lumba berbuat kebaikan. Dalam pada itu dosa kecil yang dilakukan, dirasakan seperti "gunung yang hendak menghempap kepala”.

Pencinta, pemikir, petugas masyarakat dan siapa saja yang mengidamkan umat yang sejahtera, dua aspek ubat Rasulullah SAW ini sudah cukup untuk dijadikan sebagai modal mengubat penyakit sosial. Inilah modal asas dan utama yang boleh menjadi penyelesaian kepada apa jua jenis penyakit.

2 comments:

Anonymous said...

sebuah artikel yg menarik..umat islam sekarang ni di doktrin dgn urusan keduniaan sehingga lalai tujuan mereka dijadikan di atas muka bumi ini..untuk memakmurkan bumi ini dgn ISLAM yg SYUMUL..bangunlah wahai saudara ku ..

Fatimah bintun Qamar said...

subhanallah, ana terkesan dgn entri ini, sungguh, shbat2 sgt teguh keimanannya kepada Allah dan juga Rasul..itu yg membuatkan mereka kuat dtambah dgn faktor2 lain..

syukran, entri yg penuh makna dan sarat dengan penyampaian yg menyentuh jiwa!