Tuesday, February 24, 2009

ISLAM SEBAGAI SOLUSI ATAU PUNCA KEGANASAN????


Dua dekad kebelakangan ini, konsep 'Keganasan Islam' (Islamic Terror) menjadi topik perbincangan yang hangat. Selepas serangan 11 September yang menjadikan ribuan orang yang tidak bersalah di New York dan Washington sebagai sasaran, konsep ini bangkit semula menjadi agenda antarabangsa.

Sebagai seorang Islam, kita setentunya mengutuk perbuatan ini dan merakamkan ucapan takziah kepada rakyat Amerika.

Tulisan ini akan menekankan bahawa Islam bukanlah punca kepada segala keganasan malah keganasan tidak ada tempatnya di dalam Islam. Sungguhpun perampas kapal terbang itu disyaki sebagai seorang Islam tetapi itu tidak bermakna jenayah yang dilakukan itu dilabelkan sebagai 'Keganasan Islam'. Begitu juga tidaklah dinamakan 'Keganasan Yahudi' jika penjenayah itu adalah penganut Yahudi serta bukanlah 'Keganasan Kristian' walaupun penjenayah itu Kristian.

Ini kerana, membunuh orang yang tidak berdosa atas nama agama adalah salah sama sekali. Seperti yang sedia maklum bahawa mereka yang terbunuh di Washington atau New York merupakan orang yang beriman dengan Jesus (Kristian), Nabi Musa (Yahudi) dan orang Islam. Menurut Islam, membunuh orang yang tidak bersalah menjadi satu kesalahan yang besar dan azab neraka adalah paling layak baginya kecuali diampunkan Allah. Justeru, adalah mustahil orang yang beriman terjebak dalam perkara yang tidak diredhai ini.

Apa yang jelas ialah penjenayah-penjenayah itu sebenarnya telah merosakkan nama agama sendiri. Mereka sebenarnya telah menyebabkan sesebuah agama itu dipandang jahat di mata orang dan telah menanam rasa kebencian kepada mereka yang soleh. Akibatnya, setiap serangan yang dikatakan mewakili 'agama' sebenarnya secara tidak langsung 'memerangi' agama mereka sendiri.
Kesemua tiga agama samawi menganjurkan kasih sayang, belas dan keamanan. Keganasan jelas amat kontra dengan agama kerana ia ganas, sadis, sengsara dan menumpahkan darah. Oleh hal yang demikian, ketika menyelidiki latar belakang seorang pengganas itu mestilah diperiksa kepercayaannya bukan agamanya. Orang yang berlatarbelakang fascist, communist, racist atau materialist merupakan antara yang berpotensi menjadi penjenayah. Nama atau identiti pemetik picu tidaklah penting kerana jika mereka boleh membunuh orang yang tidak bersalah dengan memejam mata, itu tidak patut dilabelkan sebagai seorang yang beragama tetapi layak yang sebaliknya. Mereka menyerang tanpa rasa takut kepada tuhan kerana gila untuk menumpahkan darah dan melakukan kerosakan.
Berdasarkan itulah, 'Keganasan Islam' amat tidak cocok dengan ajaran Islam. Lebih-lebih lagi Islam tidak bersetuju langsung dengan keganasan malah mencegah keganasan dengan menganjurkan keamanan dan kesejahteraan ke serata alam.

0 comments: