Thursday, July 23, 2009

Nifas dan Hukum-hukumnya (bahagian 2)



Hukum-Hukum Nifas

Sebagaimana haid dan istihadah, terdapat beberapa hukum yang diwajibkan ke atas wanita yang mengalami nifas. Secara umumnya hukum-hukum nifas adalah sama dengan hukum-hukum haid kecuali dalam perkara-perkara berikut:


Pertama: Iddah.

Nifas tidak dijadikan ukuran iddah bagi seorang isteri yang dijatuhkan talak (diceraikan) oleh suaminya. Oleh itu apabila seorang isteri yang hamil dicerai oleh suaminya, maka tempoh iddahnya ialah sehingga melahirkan anak, bukan dengan berhentinya nifas. Apabila seorang isteri yang baru sahaja melahirkan anak dicerai oleh suaminya, maka iddahnya ialah menunggu hingga datang haid lalu dikira berdasarkan putaran haidnya, bukan berdasarkan nifasnya. Yang terakhir ini (iddah berdasarkan putaran haid) adalah sebagaimana yang telah dibahas dalam Bab 4, hukum haid yang Ketujuh dan Kelapan.


Kedua: Ila’

Ila’ ialah tindakan seorang suami yang bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya buat selama-lamanya atau untuk satu tempoh yang melebihi empat bulan. Jika ini berlaku, maka tempoh empat bulan (atau lebih sebagaimana yang disumpah) dikira berdasarkan putaran haid isteri dan bukan berdasarkan nifasnya.


Ketiga: Baligh.

Tahap baligh bagi seorang wanita diukur berdasarkan datang haid dan bukan datang nifas. Ini kerana seorang wanita tidak mungkin akan mengalami nifas jika dia tidak hamil, dan dia tidak mungkin akan hamil jika tidak terlebih dahulu mengalami haid.



Keempat: Nifas yang terputus-putus

Bagi darah haid, jika ia keluar, kemudian terhenti sebentar, kemudian keluar semula, maka mudah untuk diyakini bahawa yang keluar semula itu adalah haid juga. Sebagai contoh, seorang wanita yang lazimnya memiliki tempoh haid lapan hari setiap bulan, lalu dia haid pada empat hari yang pertama, kemudian ia terhenti pada hari kelima dan keenam, kemudian ia keluar semula pada hari ketujuh dan lapan, maka mudah untuk diyakini bahawa yang datang semula pada hari ketujuh dan lapan tersebut adalah haid juga.

Berbeza pula bagi darah nifas, para ilmuan berbeza pendapat ke atas kes nifas yang terputus. Umumnya terdapat dua pendapat:

Pendapat Pertama:

Apabila nifas terhenti sebelum 40 hari kemudian ia keluar semula pada hari ke-40, maka yang keluar semula itu dikategorikan sebagai “darah yang disyaki”. Dalam kategori ini, wanita yang mengalaminya wajib bersolat dan berpuasa. Sebelum itu ketika sedang nifas, diharamkan ke atasnya apa yang diharamkan ke atas wanita yang sedang haid.[3] Dia wajib mengqada puasanya selepas suci (jika dia nifas dalam bulan Ramadhan). Ini adalah pendapat yang mayshur dalam Mazhab Hanbali.

Pendapat Kedua:

Apabila darah keluar pada suasana yang lazimnya disebabkan oleh faktor nifas, maka ia adalah nifas. Apabila darah keluar pada suasana yang lazimnya disebabkan oleh faktor haid, maka ia adalah haid.[4] Apabila darah keluar secara berterusan, ia adalah istihadah.

Pendapat yang kedua inilah dianggap yang benar. Imam Ibn Qudamah rahimahullah di dalam kitabnya al-Mughni, jld. 1, ms. 349 menukil kata-kata Imam Malik rahimahullah: Jika dia (wanita) melihat darah selepas dua atau tiga hari, yakni selepas habis nifas, maka ia adalah darah nifas dan jika selepasnya ( lebih dari tiga hari) maka ia adalah darah haid.[5] Pendapat kedua ini juga merupakan pilihan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.



Kelima: Bersetubuh

Apabila seorang wanita menjadi suci daripada haidnya lebih awal daripada tempoh yang biasa baginya, diharuskan bagi suami menyetubuhinya. Akan tetapi apabila seorang wanita yang sedang nifas suci daripada nifasnya lebih awal daripada tempoh 40 hari, wujud perselisihan pendapat sama ada harus atau tidak bagi suami menyetubuhinya.

Yang benar diharuskan bagi suami menyetubuhinya dan ini adalah pendapat majoriti ilmuan. Untuk berkata “tidak harus” memerlukan dalil syarak padahal tidak wujud dalil syarak dalam permasalahan ini. Terdapat sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad rahimahullah di mana isteri ‘Utsman ibn Abi al-‘Aas (yang baru suci daripada nifas) telah menghampirinya padahal di saat itu belum genap tempoh 40 hari. Maka ‘Utsman berkata: “Janganlah kamu menghampiri aku.” Kisah ini tidak boleh dijadikan dalil menghukum “tidak harus” kerana tindakan ‘Utsman mungkin di atas sikap berhati-hati kerana tidak yakin bahawa isterinya telah benar-benar suci atau akan keluar darah semula disebabkan persetubuhan atau sebagainya, Allah yang lebih mengetahui.

0 comments: