Saturday, March 28, 2009

Masa Haid Dan Tempohnya (bahagian 2)



Kedua: Tempoh haid.

Para ilmuan juga berbeza pendapat dalam persoalan tempoh haid atau kadar masanya. Terdapat enam atau tujuh pendapat dalam persoalan ini. Berkata Imam Ibn al-Munzir rahimahullah:

Menurut satu pendapat: Tidak ada batas bilangan hari bagi tempoh minima atau maksima (haid).

Saya (pengarang) berkata, ini adalah sepertimana pendapat Imam al-Darimi yang lalu dan ia adalah pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah. Ini adalah pendapat yang benar kerana didokongi oleh al-Qur’an dan al-Sunnah serta pemikiran yang sihat. Sebab-sebabnya seperti berikut:



Pertama:

Firman Allah Ta’ala:

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. [al-Baqarah 2:222]

Dalam ayat di atas Allah menjadikan “suci” sebagai syarat penyudah kepada tegahan. Allah tidak menjadikan tempoh sehari semalam, tiga hari atau lima belas hari sebagai syarat penyudah tegahan. Ini menunjukkan bahawa sebab timbulnya hukum ialah bermula dan berakhirnya haid, sehingga apabila suci daripada haid maka hilanglah hukum-hukum yang berkaitan dengan haid.



Kedua:

Dalam Shahih Muslim tercatit sebuah hadis yang sahih di mana Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada ‘A’isyah radhiallahu ‘anha yang di saat itu sedang berihram untuk umrah dan didatangi haid:

“Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang berhaji kecuali jangan kamu bertawaf di al-Bait (Ka’abah) sehingggalah kamu suci.” ‘A’isyah berkata: “Maka pada hari menyembelih aku telah suci….” [Shahih Muslim – no: 1211 (Kitab al-Haj)]



Dalam Shahih al-Bukhari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada ‘A’isyah radhiallahu 'anha:

“Tunggulah maka apabila kamu telah suci maka keluarlah ke Tan’im.” [Shahih al-Bukhari – no: 1787 (Kitab al-Haj)]



Dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadikan “suci” sebagai syarat penyudah tegahan. Baginda tidak menetapkan apa-apa batas masa atau tempoh tertentu. Ini membuktikan bahawa hukum haid ditentukan dengan bermula dan berakhirnya haid.




Ketiga:

Sesungguhnya perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid yang dilakukan oleh (sebahagian) ahli fiqh tidak terdapat dalilnya di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Padahal ini adalah persoalan penting yang sangat berhajat kepada penetapan daripada dua sumber tersebut.

Seandainya penetapan tempoh ini termasuk daripada hukum fiqh bagi umat beribadat kepada Allah, nescaya Allah dan Rasul-Nya secara terang dan jelas akan menerangkannya. Ini sebagaimana hukum-hukum fiqh yang lain seperti solat, puasa, nikah, talak, pesaka dan sebagainya.

Allah dan Rasul-Nya telah memperincikan bilangan solat, waktu-waktunya, rukuknya dan sujudnya; Zakat, harta-hartanya, nisab-nisabnya, kadarnya dan tempat ditunaikannya; Puasa, tempoh dan waktunya; Haji dan seterusnya.

Allah dan Rasul-Nya juga telah memperincikan adab-adab makan, minum, tidur, jima’, duduk, masuk-keluar rumah, membuang hajat sehinggalah kepada bilangan batu-batu untuk beristinjak dan pelbagai lagi perkara-perkara kecil yang lain.



Ini semua termasuk kesempurnaan agama Allah dan nikmat-Nya ke atas orang-orang yang beriman.

Firman Allah:

Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu. [al-Nahl 16:89]



Firman Allah:

Bukanlah ia (al-Qur’an) cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu. [Yusuf 11:111]

Apabila perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid tidak terdapat dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, jelaslah bahawa ia sebenarnya tidak berhajat kepadanya. Yang dihajatkan, atau yang dijadikan syarat ialah kewujudan haid itu sendiri pada seorang wanita. Hukum-hukum syari’at bergantung kepada wujud atau tidaknya haid, bukan tempoh masa haid.

Dalam ertikata lain, tidak wujudnya hukum perkiraan tempoh masa (minima dan maksima bagi) haid di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah menjadi bukti bahawa perkiraan tersebut tidak memberi apa-apa manfaat atau ilmu.

Sesungguhnya segala hukum syara’ tidak boleh ditetapkan melainkan dengan dalil dari syara’ sendiri iaitu daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, atau ijma’ (kesepakatan) yang maklum (diketahui) atau qiyas (analogi) yang sahih.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menyebut sebuah kaedah yang amat penting:

Dari apa yang dikenali sebagai haid, Allah telah kaitkan dengannya beberapa hukum dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah tidak menentukan baginya tempoh masa minima dan tempoh masa maksima. Allah juga tidak menentukan tempoh masa suci antara dua haid. Sedangkan perkara-perkara ini adalah umum terhadap umat dan mereka berhajat untuk mengetahuinya.

Dari sudut bahasa, ia (al-Qur’an dan al-Sunnah) tidak membezakan antara satu tempoh dengan satu tempoh yang lain. Maka sesiapa yang menentukan satu tempoh tertentu maka sesungguhnya dia menyalahi al-Qur’an dan al-Sunnah. [al-Risalah fi al-Asma’ allati ‘Alaq al-Syar‘i al-Ahkam biha, ms 35]

Friday, March 27, 2009

Masa Haid Dan Tempohnya (bahagian 1)


Perbincangan dalam bab ini tertumpu kepada dua persoalan:

1. Umur bagi bermulanya haid.

2. Tempoh haid.


Pertama: Umur bagi bermulanya haid.

Umur seorang wanita yang pada kebiasaan bermula haid ialah antara dua belas hingga lima puluh tahun. Namun wujud kemungkinan haid bermula lebih awal daripada umur dua belas tahun atau lebih lewat daripada umur lima belas tahun.

Para ilmuan berselisih pendapat adakah terdapat batas umur tertentu bagi permulaan haid untuk wanita. Mereka juga berselisih pendapat sama ada darah yang datang sebelum atau selepas batas umur tersebut adalah darah haid atau darah penyakit? Selepas menyebut perselisihan pendapat ini, Imam al-Darimi rahimahullah membuat kesimpulan berikut:

Semua pendapat ini adalah saya menurut saya. Ini kerana rujukan kepada semua persoalan ini adalah kepada wujud (darah yang mengalir keluar). Maka pada setiap umur dan keadaan jika didapati (wujud darah yang mengalir keluar) maka wajib mengkategorikan ia sebagai (permulaan) haid. Allah sahaja yang lebih mengetahui. [Dinukil oleh Imam al-Nawawi dalam Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 1, ms. 386]

Apa yang disimpulkan oleh Imam al-Darimi adalah pendapat yang benar. Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah.

Maka apabila seorang wanita melihat darah haid mengalir keluar maka bermakna dia telah didatangi haid sekalipun umurnya sembilan tahun ataupun lebih daripada lima puluh tahun. Ini kerena hukum-hukum haid yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya adalah atas wujudnya (haid). Allah serta Rasul-Nya tidak membataskan umur tertentu dalam persoalan ini. Menentukan batas umur tertentu memerlukan dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah, padahal tidak ada sebarang dalil berkenaannya (dalam dua sumber tersebut).

Thursday, March 26, 2009

Makna Haid Dan Hikmahnya.....


Makna Haid

Dari sudut bahasa, haid (الحيض) ialah: turun sesuatu secara mengalir.

Dari sudut syara’, haid ialah darah yang keluar dari wanita kerana fitrah kejadiannya tanpa sebarang sebab. Ia keluar pada waktu-waktu yang diketahui. Ia adalah darah fitrah yang keluar bukan kerana sakit, luka, keguguran atau kelahiran.

Hikmah Haid

Sesungguhnya janin yang berada di dalam perut ibunya tidak mungkin mendapat makanan seperti orang yang di luar. Ini kerana tidak mungkin bagi seorang ibu untuk menyampaikan makanan kepada anaknya dengan cara yang biasa.

Atas sebab ini Allah Ta’ala menjadikan makanan untuk janin dalam perut ibu daripada darah (ibunya). Ia tidak memerlu kepada pemakanan biasa (solid food) dan penghadaman. (Zat makanan yang berada di dalam darah ibu) sampai ke dalam badan janin melalui pusatnya dan lantas memasuki urat-urat sarafnya. Inilah cara janin mendapat makanan.

Maha Mulia Allah sebagai sebaik-baik pencipta. Inilah hikmah darah haid. Oleh itu apabila berlaku kehamilan, seorang wanita terputus haidnya. Amat jarang berlaku haid ketika hamil. Demikian juga bagi ibu-ibu yang menyusu, sangat sedikit di kalangan mereka yang datang haid terutamanya di awal masa menyusu.

penerangan Syaikh al-Utsaimin rahimahullah di atas merujuk kepada kes setelah berlakunya persenyawaan dan wanita menjadi hamil. Jika tidak hamil, darah haid berperanan membersihkan sel-sel telur dalam sistem pembiakan wanita yang tidak disenyawakan. Lebih lanjut rujuk buku:

1. Hukum-hukum Wanita Hamil oleh Dr. Yahya ‘Abd al-Rahman (edisi terjemahan oleh Abu Wafa’; al-Izzah, Jakarta 2003).

2. Tuntutan Haidh, Nifas & Darah Penyakit: Tinjauan Fiqih dan Medis oleh Dr. ‘Abd al-Rahman Muhammad al-Rifa’i (edisi terjemahan oleh Mahfud Hidayat & Ahmad Muzayyin; Mustaqim, Jakarta 2003) (penyunting)

Wednesday, March 18, 2009

Hukum meng"qhada'"kan solat ketika haid.......


Kebanyakkan perempuan/wanita/ muslimah (wanita Islam) tak berapa perasan ATAU lebih malang lagi jika memang tak tahu menahu akan perkara ini...

Ilmu Fekah, khususnya BAB HAID yang berkaitan dengan diri wanita itu sendiri amat kurang dikuasai atau difahami secara menyeluruh oleh kebanyakkan wanita Islam... kenapa hal ini boleh terjadi??

Contohnya yang paling simple ; bila ditanya kepada kebanyakkan wanita Islam ;

"adakah wajib bagi seorang wanita Islam menqhada'kan solat mereka yang ditinggalkan ketika haid?" pastinya kita akan mendengar jawapan daripada kebanyakkan mereka mengatakan:

"alaa... itu soalan mudah jee..bila 'datang period' maka solat tuu tak perlu qadha, yang perlu qadha hanya puasa jee..itulah yang kami belajar sejak mula-mula 'bergelar wanita' dulu"

Jika dibuat pantauan nescaya jawapan seperti di ataslah yang akan kita jumpa..

Sebenarnya TAK SEBEGITU MUDAH bagi seorang muslimah nak meninggalkan solat mereka walaupun dirinya didatangi haid!!! sekalipun.

Hal ini boleh dirujuk di dalam kitab Ihya' Ulumuddin karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang mashur. Kitab yang padanya ada ilmu yang berkaitan Tasauf dan padanya juga perbahasan Fekah yang luas, inilah bukti kehebatan ulama' terdahulu.

Dalam BAB TIGA :

" Fi adab Mua'sharah Wama Yujzi Fi Dawamun Nikah... "


perkara YANG KETUJUH disebut dengan jelas dalam kitab tersebut :

PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN HAID:
Penjelasan (bayan) terhadap solat yang perlu diqadha bagi perempuan yang didatangi haid :

1. Jika perempuan dalam keadaan haid mendapati darah haid itu berhenti (dengan melihatnya) sebelum masuknya waktu Maghrib, kira-kira sempat dia solat asar sebanyak satu rakaat, maka baginya wajib qadha solat zohor dan asar.

2. Jika perempuan mendapati darah haidnya kering sebelum masuknya waktu subuh, kira-kira sempat baginya solat Isya' sebanyak satu rakaat, maka wajib baginya qadha solat maghrib dan Isya'.
"Dan hal ini (qadha solat yang ditinggalkan semasa haid) adalah sekurang-kurang perkara yang wajib diketahui oleh setiap wanita Islam" (Imam Al-Ghazali)



HURAIAN MASALAH :

1. Kenapa perlu diqadha solat Asar dan Zohor?
- Kerana perempuan itu hanya menyedari keringnya haid masih dalam waktu Asar, maka baginya wajib solat asar (selepas mandi hadas)

2. Kenapa pula solat Zohor juga perlu diqadha sama?
- Kerana di dalam hukum menjama' (menghimpun solat bagi orang musafir) solat Asar boleh dijama' dan diqosarkan bersama solat Zohor.
- Kerana kecuaian wanita itu sendiri (dari melihat haidnya kering atau tidak), boleh jadi haidnya sudah kering dalam waktu Zohor lagi, langkah Ihtiyat (menjaga hukum) maka perempuan itu juga perlu mengqhada solat Zohor.

3. Dalam perkara solat subuh pun sama :
-perempuan itu hanya menyedari darah haidnya kering, sebelum masuk waktu subuh, kira-kira sempat solat Isyak satu rakaat (selepas mandi hadas) maka wajib baginya solat Isya' sebab darahnya kering masih dalam waktu Isya'.
-Solat Isya' juga boleh dijama' (bagi musafir) dengan solat Maghrib, maka baginya juga perlu diqadha solat maghrib.
-Di atas kecuainnya (tidak betul-betul melihat darahnya kering atau tidak dalam setiap waktu solat) maka boleh jadi darahnya sudah kering dalam waktu maghrib lagi (sebab proses keringnya darah itu berlaku secara perlahan-lahan, mungkin perempuan itu hanya menyedarinya dalam waktu subuh, hakikatnya proses pengeringan itu sudah lama berlaku)
-maka langkah ihtiyat (menjaga hukum) maka adalah bagi perempuan itu perlu di qadha juga solat maghribnya.
Sila rujuk : Kitab Ihya' Ulumuddin (Jilid ke 2) cetakan Darul Nahwan Nil / Darul Haram Lil Turath, Kaherah.
Diharapkan tulisan ini memberi kesedaran kepada seluruh yang bergelar Muslimah untuk lebih mendalami diri mereka dengan ilmu 'Fiqhul Nisa' ini yang berkaitan dengan diri mereka sendiri!!!

Tuesday, March 17, 2009

Keajaiban Saintifik Al-Qur'an (ORBIT)....



Ketika menerangkan mengenai bulan dan matahari dalam Al-Qur'an, ianya ditekankan bersama bahawa setiap satunya mempunyai laluan orbit tertentu;

Dia yang menjadikan malam dan siang, matahari dan bulan, setiap mereka berenang di falak (tempat peredarannya). (Surah al-Anbiya; 33)

Dalam ayat lain dinyatakan juga bahawa matahari sebenarnya bukan objek yang statik tetapi juga mempunyai orbitnya tertentu;

Dan matahari beredar di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan yang maha Perkasa dan maha Mengetahui. (Surah Yaasin;38)

Fakta yang dikemukakan dalam Al-Qur'an ini telah ditemui melalui pemerhatian astronomi hari ini. Berdasarkan kepada kiraan pakar-pakar astronomi, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar selaju 720, 000 km sejam mengarah ke bintang Vega dalam satu orbit tertentu dalam sistem Solar Apex. Ini bererti matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sejam secara anggaran. Bersama-sama dengan matahari, dan semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari (sistem solar) juga turut bergerak pada jarak yang sama. Sebagai tambahan, semua bintang dalam alam semesta adalah berada dalam satu persamaan pergerakan yang telah ditentukan.

Lanjutan hal ini, iaitu alam semesta dipenuhi dengan lintasan dan orbit telah dimaktubkan di dalam Al-Qur'an;

Demi langit yang mempunyai jalan-jalan. (Surah az-Dzariyat;7)

Terdapat lebih kurang 200 bilion galaksi dalam alam semesta, yang mengandungi hampir 200 billion bintang setiap satu. Kebanyakan dari bintang-bintang ini mempunyai planet-planet dan kebanyakan dari planet ini mempunyai satelit. Semua objek-objek langit ini bergerak menepati orbit-orbit yang telah dicongak. Untuk berapa juta tahun, semuanya 'berenang' melintasi orbit masing-masing dalam keseimbangan dan susunan yang sempurna bersama-sama dengan yang lain. Selanjutnya, bilangan komet yang banyak juga bergerak bersama dalam orbit-orbit yang telah ditentukan untuk mereka.

Orbit-orbit dalam alam semesta bukan sahaja dimiliki oleh jasad-jasad langit ini, tetapi juga dimiliki oleh galaksi-galaksi yang bergerak pada kelajuan yang besar dalam orbit-orbit yang telah ditetapkan. Sewaktu dalam pergerakan, tidak ada satupun objek langit ini yang memotong orbit atau bertembung dengan objek lain.

Suatu yang pasti, ketika Al-Qur'an di turunkan manusia tidak mempunyai sebarang teleskop seperti hari ini atau teknologi pemerhatian yang maju untuk memerhati jutaan kilometer ruang angkasa, dan juga tanpa pengetahuan fizik atau astronomi yang moden. Dengan hal ini, ianya suatu yang mustahil ketika itu untuk menentukan secara saintifik bahawa ruang langit 'dipenuhi dengan lintasan dan orbit' seperti yang dinyatakan dalam Al-Qur'an. Bagaimanapun, hal ini secara jelas diterangkan kepada manusia dalam Al-Qur'an yang diwahyukan ketika itu -kerana Al-Qur'an sebenarnya adalah kalam Tuhan.

Wednesday, March 11, 2009

PERLUKAH WANITA KE MASJID?


Sering kita dengar para ustaz menyatakan bahawa wanita tidak digalakkan ke masjid. Tetapi ada juga di kalangan muslimat yang bertanya tentang logiknya larangan ini. Ini kerana bagi mereka, kenapa hanya larangan ke masjid yang dicanang, tetapi tidak pula dicanang larangan ke tempat-tempat yang lain?

Kalau kita melihat kepada hukum solat berjemaah kepada wanita di masjid, kita akan dapati para ulamak sepakat menyatakan bahawa solat jemaah tidaklah wajib kepada kaum wanita. Ini ada disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla. Kita juga dapati sebahagian daripada mereka memakruhkan bagi wanita untuk ke masjid, terutamanya kepada para pemudi. Dan alasan yang biasa diberikan adalah kerana bimbangkan fitnah. Dan kita juga dapati bahawa mereka telah sepakat menyatakan bahawa tuntutan solat berjemaah kepada kaum wanita tidaklah sama seperti kepada kaum lelaki. Berkata Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu': “terdapat beberapa perbezaan antara lelaki dan perempuan dalam hukum solat berjemaah, antaranya ialah: tuntutannya tidaklah sama seperti tuntutan kepada kaum lelaki”.

Kebanyakan ulamak pula mengaggap bahawa solat di rumah adalah lebih baik bagi kaum wanita berbanding di masjid. Pendapat mereka ini bersesuaian dengan Sabda Nabi s.a.w.: “…dan rumah kediaman mereka adalah lebih baik bagi mereka”. Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud.

Walau bagaimana pun, kita juga dapati bahawa para ulamak sepakat tidak mengharamkan mereka ke masjid. Berkata al-Imam Ibnul Jauzi: “Harus bagi seorang perempuan untuk keluar ke masjid untuk solat berjemaah bersama kaum lelaki” (Lihat: Ahkamun Nisa', m/s 36, cetakan pertama, Matbaah al-Halabi, Mesir, 1994).Bahkan ada di kalangan mereka yang menganggap bahawa elok juga bagi kaum wanita untuk datang solat berjemaah di masjid. Berkata al-Hafiz Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla: “Jika hadir seorang wanita ke masjid untuk bersolat berjemaah bersama kaum lelaki, maka itu adalah satu perkara yang baik” . Dan ini adalah pendirian mazhab Zohiri. Bagi mereka hadis yang menyatakan kelebihan solat berjemaah mengatasi solat bersendirian dengan 27 darjat tidak boleh dikhususkan untuk kaum lelaki sahaja. Lihat al-Mufassal Fi Ahkamil Mar'ah, jilid 1, m/s 212.

Sebenarnya tidak ada nas yang jelas melarang wanita ke masjid, bahkan nas yang ada hanyalah menyatakan bahawa solat di rumah adalah lebih baik. Nas ini adalah penutup kepada hadis yang menyatakan bahawa mereka perlu diberikan keizinan untuk ke masjid. Sabda Nabi s.a.w.: "Jangan kamu menegah kaum wanita ke masjid-masjid, dan (solat mereka di) rumah-rumah mereka adalah lebih baik". Hadis sohih riwayat Abu Daud, Kitabus Solah.



Dan terdapat juga kata-kata Siti Aisyah yang seolah-olah menunjukkan bahawa kaum wanita dilarang ke masjid. Aisyah berkata: “Kalaulah Rasulullah s.a.w. melihat apa yang telah dilakukan oleh wanita sekarang (zaman beliau), nescaya baginda akan melarang mereka (ke masjid), sebagaimana telah dilarang perempuan Bani Israil. Riwayat Imam Bukhari. Berkata al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani: “..kata-kata Aisyah itu tidaklah mengubahkan hukum (yang sedia ada). Ini kerana beliau gantungkan (larangan) tadi dengan satu syarat yang tidak wujud, yang hanya berdasarkan sangkaan beliau sahaja. Perkataan beliau: “Kalaulah Rasulullah s.a.w. melihat” boleh (dijawab dengan) dikatakan bahawa baginda tidak melihatnya dan tidak melarangnya. Maka kekallah hukum (yang asal, iaitu tiada larangan). Bahkan Aisyah sendiri tidaklah secara jelas melarang, sekalipun perkataannnya itu menunjukkan bahawa beliau seolah-olah melarangnya. Lagipun Allah SWT telah pun mengetahui apa yang akan dilakukan oleh para wanita, dan Dia tidaklah mewahyukan kepada NabiNya untuk melarang mereka. Kalaulah apa yang mereka lakukan itu memerlukan dilarang mereka ke masjid, maka melarang mereka ke pasar-pasar adalah lebih utama. Lihat Fathul Bari, kitabul Azan, juz 2, m/s 445.

Kerana inilah mereka juga perlu diberikan keizinan untuk pergi solat berjemaah di masjid, walaupun pada malam hari. Sabda Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar: "Berilah keizinan kepada wanita-wanita kamu untuk ke masjid pada malam hari". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Lihat: Ahkamun Nisa', m/s 39. Kaum wanita di zaman Rasulullah s.a.w. juga menghadiri solat berjemaah di masjid, dan Rasulullah s.a.w. tidaklah menghalang mereka. Bahkan dalam hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Aisyah menyatakan bahawa kaum muslimat datang berjemaah solat subuh bersama Rasulullah s.a.w., dan mereka tidaklah dapat dicam kerana hari masih gelap (sekalipun sudah ada cahaya pagi). Isteri-isteri Rasulullah s.a.w. pula, bukan sahaja datang ke masjid, bahkan mereka juga beriktikaf di masjid di bulan Ramadhan. Semua nas ini dengan jelas menunjukkan bahawa wanita harus untuk ke masjid dan kita tidak sepatutnya menghalang mereka.

Kalaulah kaum wanita dihalang ke masjid atas alasan fitnah, maka kenapa kita tidak menghalang anak-anak perempuan kita ke sekolah atas alasan yang sama? Tidakkah fitnah pergaulan bebas di sekolah lebih teruk daripada di masjid? Tidakkah gangguan yang bakal dihadapi mereka semasa ke sekolah atau ke kolej dan di kolej atau universiti itu lebih besar daripada ke masjid? Kenapakah mereka dihalang ke masjid yang berdekatan dengan rumah mereka, tetapi tidak dihalang ke kolej atau universiti yang jaraknya lebih jauh? Kenapakah anak-anak perempuan kita atau isteri-isteri kita dibenarkan ke tempat kerja, shopping kompleks, ke pasar-pasar bahkan ke semua tempat kecuali tempat yang paling mulia, iaitu rumah-rumah Allah? Kenapakah wanita Islam dihalang ke masjid-masjid, sedangkan wanita-wanita Kristian, Yahudi dan sebagainya tidak dihalang ke kuil atau gereja? Adakah wanita yang sedang beribadat di dalam masjid itu lebih buruk dan lebih besar fitnahnya berbanding dengan yang sedang menonton tv di rumah?



kalaulah kita ingin berbincang mengenai hukum wanita ke masjid , kita jangan hanya melihat kepada hukum solat berjemaah yang ditulis dalam kitab-kitab Fiqh. Ini kerana hukum tersebut hanya untuk hukum datang berjemaah ke masjid. Padahal kita juga perlu melihat bahawa masjidlah tempat penyebaran ilmu dan kefahaman mengenai Islam. Kerana inilah Dr Yusof al-Qardawi berkata: "Solat seorang perempuan di rumahnya itu lebih baik jika dia ke masjid hanya untuk berjemaah, tanpa sebarang faedah lain, tetapi jika ada faedah yang lain seperti mendengar tazkirah keagamaan, mempelajari sesuatu ilmu atau mendengar bacaan al-Qur'an daripada qari yang khusyuk, maka pergi ke masjid itu adalah lebih baik". Ini kerana kewajiban belajar agama dan mendengar tazkirah bukan tertentu untuk golongan lelaki sahaja.

Bahkan terdapat hadis yang khusus yang menyatakan kelebihan belajar di masjid. Sabda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang datang ke masjid dan tidak ada tujuan baginya melainkan mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka baginya pahala haji yang sempurna”. Hadis riwayat Tobarani dan al-Albani mengangapnya sohih. Lihat Sohih Targhib wat Tarhib, m/s 38.

Tambahan lagi, ramai di kalangan kita yang tidak mengajarkan anak isteri mereka mengenai Islam, samada kerana tidak mampu atau tidak mempunyai masa. Dan kalaulah kita sudah pun mengajarkan mereka agama sekalipun, adakah kita mampu memberikan tazkirah yang boleh mengetuk pintu hati mereka (seperti para ustaz di masjid) supaya mereka nampak keagungan Allah SWT dan ingin mendekatkan diri kepadaNya serta menyucikan hati nurani mereka?

Kalaulah dunia sekarang sedang memberikan kepada para wanita segala hak mereka samada dari sudut ekonomi, politik, sosial dsbg, kenapakah hak mereka untuk berada di rumah Allah dan mendekatkan diri mereka kepada Yang Maha Pencipta dihalang? Tidakkah hak ini tidak kurang pentingnya?

Walau bagaimana pun, wanita perlu meminta keizinan suami atau wali untuk ke masjid. Dan tidak patut bagi seorang ayah atau seorang suami untuk menghalang kecuali ada sebab yang munasabah. Dan mereka juga hendaklah menjaga adab-adab berikut:-

* Keluar dalam keadaan menutup aurat dan berpakaian sopan
* Tidak bersolek dan memakai bau-bauan
* Lebih elok dalam keadaan ditemani dengan mahram, suami, atau kawan-kawan.

Sebagai mengakhiri artikel ini, disertakan kata-kata Dr Yusof al-Qardhawi dalam perkara ini. Beliau berkata: "Sebahagian daripada kaum lelaki sekarang ini telah pun keterlaluan dalam masalah wanita, dan mereka langsung tidak menyokong fikrah harusnya wanita ke masjid, walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun ada dinding yang kukuh yang membataskan antara lelaki dan perempuan di masjid, yang mana dinding seperti ini tidak pun ada pada zaman Rasulullah s.a.w.. Katanya lagi: "Ini semua adalah disebabkan oleh kerana keterlaluan dan kurangnya kesedaran".

Sebagaimana seruan Syeikh Dr Yusuf Qardhawi: "Sesungguhnya saya tanpa segan menyeru supaya bukakanlah kepada para perempuan untuk ke rumah-rumah Allah, supaya mereka juga dapat mencari kebaikan, mendengar peringatan dan mempelajari agama. Keluar mereka ini sedikit sebanyak boleh memberikan kegembiraan kepada mereka (dalam perkara yang bukan maksiat), selagi mana mereka keluar dalam keadaan bersopan, menutup aurat dan tanpa solekan yang diharamkan”.

Tuesday, March 10, 2009

Keajaiban Saintifik Al-Qur'an (PEMISAHAN LANGIT DAN BUMI)....

Sepotong ayat mengenai penciptaan langit dinyatakan sebagai berikut.ayat.

"dan apakah orang-orang kafir itu tidak melihat bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu (satu unit penciptaan), kemudian kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakan mereka tiada juga beriman?". (Surah Al-Anbia: 30)

Kalimah 'ratq' diertikan sebagai dijahit yang bermaksud 'dikumpul bersama, dicampur' dalam kamus bahasa arab. Ianya digunakan untuk merujuk dua intipati yang berbeza yang membina suatu yang menyeluruh. Frasa 'Kami membuka jahitan; adalah perkataan fataq dalam bahasa arab dan menggambarkan bahawa sesuatu yang diwujudkan dengan membelah bahagian atau memusnahkan struktur ratq. Biji benih yang tumbuh bertunas dari tanah adalah satu contoh frasa ini.

Sekarang mari kita perhatikan sejenak ayat ini sekali lagi dengan menyimpan pemahaman ini di dalam minda. Di dalam ayat tersebut, langit dan bumi pada status pertamanya adalah berbentuk ratq. Kedua-duanya di pisahkan (fataqa) dengan kemunculan satu dari yang satu lagi. Apa yang menarik, apabila kita mengingati saat pertama fenomena Big Bang kita melihat bahawa satu titik tunggal mengandungi semua material alam semesta.

Dalam perkataan lain, setiap benda termasuk langit dan bumi yang masih belum diciptakan lagi, juga termasuk di dalam titik tunggal ini dalam keadaan ratq. Titik ini kemudiannya meletup dalam satu letupan yang besar, menyebabkan materialnya menjadi fataq dan proses ini membentuk keseluruhan struktur alam semesta. Apabila kita membandingkan pernyataan di dalam ayat Al-Qur'an di atas dengan penemuan saintifik, kita mendapati bahawa kedua-duanya berada dalam keserasian yang sempurna di antara satu sama lain. Apa yang cukup menarik perhatian ialah penemuan ini tidak diketahui sehingga abad ke 20.