Tuesday, March 10, 2009

Keajaiban Saintifik Al-Qur'an (Pengenalan)....


14 abad lalu, Tuhan telah menurunkan kitab suci Al-Qur'an kepada umat manusia sebagai satu kitab panduan. Dia menyeru manusia agar berpegang kepada kitab ini sebagai jalan untuk mendapatkan kebenaran. Bermula saat ianya diwahyukan sehingga ke saat pengadilan kelak, kitab suci ini akan kekal sebagai satu-satunya panduan bagi umat manusia.

Gaya uslub dan ketinggian hikmah yang tiada tandingan yang terdapat di dalam kitab ini adalah bukti yang amat jelas bahawa ianya adalah kalam suci Tuhan. Sebagai tambahan, kitab ini mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu kudus dari Tuhan. Satu dari ciri-ciri ini ialah kenyataan bahawa sejumlah kebenaran saintifik yang hanya mampu disingkap melalui kemajuan teknologi di abad ke 20 ini sebenarnya telah pun diungkapkan di dalam Al-Qur'an 1400 tahun dahulu.

Sudah tentu Al-Qur'an bukanlah sebuah kitab sains. Tetapi, banyak fakta-fakta saintifik yang dinyatakan secara jelas dan dengan cara yang amat mendasar dalam surahnya hanya mampu disingkap melalu kecanggihan teknologi abad ke 20. semua fakta ini tidak diketahui ketika masa penurunan wahyu dan ini juga adalah bukti bahwa Al-Qur'an adalah kalam Tuhan.

Untuk memahami keajaiban saintifik Al-Qur'an, pertamanya kita akan melihat tahap kemajuan sains ketika mana kitab suci ini diturunkan.



Pada abad ke 7, ketika Al-Qur'an diwahyukan. Masyarakat arab telah pun memiliki kepercayaan khurafat dan yang tidak berasas yang berkaitan dengan isu-isu saintifik. Kedaifan peralatan teknologi untuk menyelidiki alam semesta dan bumi menyebabkan masyarakat ini mempercayai kepada legenda-legenda yang diwariskan dari generasi ke generasi, mereka mendakwa sebagai contoh, bahawa gunung-ganang menongkat langit, mereka percaya bahawa bumi adalah datar dan bahawa di sana terdapat gunung-gunung yang tinggi terletak di setiap penghujungnya. Mereka menyangkakan bahawa gunung-gunung ini adalah tiang yang menyebabkan kubah langit di atas.

Tetapi, semua kepercayaan khurafat masyarakat arab ini ditolak oleh Al-Qur'an. Dalam surah Ar-Ra'd ayat ke 2 dinyatakan: Tuhanlah Dia yang meninggikan langit-langit tanpa tiang Ayat ini telah membatalkan kepercayaan bahawa langit yang berada di atas kerana sokongan gunung-ganang. Dalam banyak subjek lain, fakta-fakta penting telah dinyatakan ketika mana tiada seorang pun yang dapat mengetahuinya.

Al-Qur'an diturunkan ketika umat manusia hanya mengetahui sedikit mengenai astronomi, fizik atau biologi yang mengandungi fakta mengenai pelbagai subjek seperti penciptaan alam semesta, manusia, struktur atmosfera dan keseimbangan yang membenarkan kehidupan di atas muka bumi. Sekarang, mari kita lihat beberapa keajaiban saintifik yang dinyatakan di dalam kitab suci Al-Qur'an bersama-sama.

Friday, March 6, 2009

Keputusan Majlis Fiqh Dunia Berkaitan Hukum Wanita Kerjaya...



Sebagai panduan buat suami isteri bekerja, disertakan keputusan majlis Fiqh Sedunia tentang perkara berkaitan.

Keputusan Majlis Fiqh Sedunia dalam persidangan yang ke-16 bertempat di Dubai pada 9-14 April 2005 telah membuat ketetapan seperti berikut :-

1. Pemisahan tanggungan harta di antara suami isteri

Isteri mempunyai kelayakan sepenuhnya dan hak harta yang tersendiri. Menurut hukum Shariah, isteri mempunyai hak penuh terhadap (harta) yang diusahakan, samada untuk menggunakannya, memiliki sesuatu, membelanjakannya sementara suami tidak punyai sebarang berkuasa ke atas harta isterinya itu. Isteri juga tidak perlu mendapat izin suami dalam pemilikan hartanya itu dan cara belanjakannya.


2. Nafkah perkahwinan

Seorang isteri berhak menerima nafkah yang telah ditetapkan mengikut kemampuan suami bersesuaian dengan uruf yang benar juga kebiasaan masyarakat setempat yang diterima syara'. Kewajipan memberi nafkah ini tidak gugur kecuali jika berlaku nusyuz (di pihak isteri).


3. Isteri keluar bekerja

* Tanggungjawab asas bagi seorang isteri ialah mengurus keluarga, mendidik anak-anak dan memberi sepenuh perhatian terhadap generasi masa depan itu. Walaubagaimanapun, di ketika perlu, isteri berhak untuk bekerja dalam bidang yang bersesuaian dengan tabiat dan kemahirannya menurut uruf yang diiktiraf syara' dengan syarat hendaklah dia beriltizam (menjaga) hukum-hukum agama.

* Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri yang berkerja tidak gugur menurut Islam, selagi mana tidak berlaku ketika keluarnya isteri tersebut untuk bekerja menyebabkan berlakunya isteri 'nusyuz', tatkala itu gugur kewajipan suami memberi nafkah kepada isterinya yang nusyuz.


4. Isteri turut serta membiayai perbelanjaan keluarga

* Menurut pandangan Islam, dari awal mula lagi, isteri tidak wajib berkongsi peranan membiayai nafkah (perbelanjaan) yang diwajibkan ke atas suami. Suami juga tidak harus mewajibkan isteri membantunya (dengan bekerja).

* Kerelaan seorang isteri untuk turut berperanan membantu perbelanjaan keluarga merupakan suatu perkara dibenarkan menurut pandangan syara' demi menjayakan makna bantu membantu dan bertolak ansur di antara suami isteri.

* Diharuskan untuk membuat persefahaman dan persepakatan di antara suami isteri akan cara pengurusan pendapatan merkea termasuk pendapatan yang diperolehi oleh isteri.

* Jika keluarnya isteri bekerja memerlukan kos tambahan, maka isteri menanggung sendiri kos tersebut ( seperti pengangkutan dan lain-lain)



5. Kerja Sebagai Syarat

* Seorang isteri dibenarkan untuk meletakkan syarat pada akad perkahwinannya bahawa ia hendaklah dibenarkan bekerja, apabila suami redha dengan syarat itu, ia menjadi kemestian baginya untuk membenarkan (setelah kahwin). Syarat itu hendaklah dinyatakan secara jelas ketika akad.

* Suami pula harus meminta isteri meninggalkan kerjayanya walaupun sebelum ini ia membenarkannya, iaitu sekiranya meninggalkan pekerjaan itu dibuat atas tujuan kepentingan keluarga dan anak-anak.

* Tidak harus, pada pandangan syara' bagi seorang suami untuk menjadikan keizinannya kepada isteri untuk bekerja dengan syarat isteri hendaklah membantu perbelanjaan keluarga yang diwajibkan ke atas suami; tidak harus juga suami mensyaratkan isteri memberi sebahagian daripada pendapatannya kepada suami.

* Suami tidak boleh memaksa isteri untuk keluar bekerja.



6. Perkongsian isteri dalam pemilikan harta

Apabila isteri benar-benar turut menyumbang harta dan pendapatannya bagi mendapatkan dan memilki rumah, aset tetap atau sebarang projek perniagaan, ketika itu isteri mempunyai hak perkongsian pemilikan terhadap rumah atau projek tersebut mengikut kadar harta yang disumbangkannya.



7. Penyalahgunaan hak dalam bidang pekerjaan

* Sebuah perkahwinan itu mempunyai beberpaa kewajiban bersama yang patut ditanggung oleh pasangan suami isteri dan ia ditentukan oleh Shariah Islam dengan jelas. Justeru hendaklah perhubungan antara suami isteri dibina adalah landasan keadilan, tolak ansur dan saling menyayangi. Sebarang tindakan yang melangkaui batasan berkenaan adalah haram pada kacamata syara'.

* Seorang suami tidak harus menyalahgunakan haknya sebagai suami untuk menghalang isteri bekerja atau memintanya meninggalkan kerjayanya sekiranya ia hanya bertujuan untuk memudaratkannya (isteri) atau diyakini tindakan itu hanya akan menyebabkan keburukan melebihi kepentingan yang diperolehi.

* Demikian juga halnya ke atas isteri (tidak harus menyalahgunakan keizinan dan hak yang diberikan), iaitu jika ia berterusan dengan kerjayanya hingga menyebabkan mudarat kepada suami dan keluarga atau melebihi maslahat yang diharapkan.

Thursday, March 5, 2009

Hukum Wanita Kerjaya (part 2)



Sejarah Wanita Bekerja di Zaman Nabi

Kebanyakan wanita di zaman Nabi dahulu tidak bekerja di luar rumah dan hanya bekerja di sekitar rumahnya sahaja. Cuma sebahagian waniat islam adakalanya bertugas di luar rumah sekali sekala berdasarkan keperluan.

Ummu Atiyah sebagai contoh yang bertugas menguruskan jenazah wanita Islam di Madinah, merawati lelaki yang cedera di medan peperangan disamping itu menyediakan makanan buat pejuang-pejuang Islam.

Termasuk juga adalah Rufaydah Al-Aslamiyyah, yang merupakan doktor wanita Islam pertama yang mana Nabi SAW menyediakan sebuah khemah khas di masjid Nabi untuk tujuan rawatan bagi pejuang Islam yang cedera ketika peperangan 'Khandaq'.

Demikian juga Ar-Rabaiyyi` bint Mu`awwiz and Umm Sulaim yang bertugas di luar rumah untuk memberi minuman dan makanan kepada pejuang. Ash-Shifa' binti `Abdullah pula pernah bertugas sebagai guru yang mengajar wanita-wanita islam membaca dan menulis di ketika baginda nabi Muhammad SAW masih hidup.

Umm Mihjan pula bertugas sebagai pembantu membersihkan masjid nabi sehingga ketika ia meninggal dunia, nabi tercari-carinya dan diberitahu kemudiannya, ia telah meninggal dunia. Sebagai penghormatan, baginda Nabi SAW pergi di kuburnya lalu menunaikan solat jenazah buatnya.

Selain itu, Khalifah `Umar ibn Al-Khattab juga pernah melantik wanita bernama Ash-Shifa' untuk menjalankan tugas al-hisbah atau 'Shariah auditor' di pasar di ketika itu bagi memastikan ia dijalankan menepati Shariah.

Semua ini menunjukkan keharusannya, cuma semua keharusan tadi diikat dengan syarat tertentu sebagaimana yang disebut oleh Prof. Dr Md Uqlah Al-Ibrahim antaranya ( Nizam Al-Usrah, 2/282 ; Al-Mar'ah Bayna Al-bayt Wal Mujtama', hlm 18) :-

1) Terdapat keperluan : menyebabkan ia terpaksa keluar dari tanggungjawab asalnya (iaitu peranan utama kepada rumahtangga) seperti :-

a- Kematian suami dan memerlukan belanja kehidupan.

b- Memberikan bantuan kepada dua ibu bapa yang sangat miskin atau suami yang uzur tubuhnya.

c- Membantu bisnes suami yang memerlukan banyak tenaga dan kos.

d- Mempunyai keistemewaan yang hebat sehinggakan kemahiran ini sangat diperlukan oleh masyarakat umumnya.



2) Mestilah kerja ini bersesuaian dengan fitrah seorang wanita dan kemampuan fizikalnya.

3) Mestilah keluarnya untuk bekejra dengan menutup aurat dan sentiasa menjauhi fitnah di tempat kerja.

4) Mestilah kerjanya tidak memerlukannya berdua-duanya dan bercampur baur dengan lelaki.

Sebagaimana antara dalil yang menunjukkan keperluan untuk tidak bercampur dan berasak-asak dengan kumpulan lelaki sewaktu bekerja adalah firman Allah SWT :-

وَلَمَّا وَرَدَ مَاء مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِّنَ النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِن دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا خَطْبُكُمَا قَالَتَا لَا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاء وَأَبُونَا شَيْخٌ كَبِيرٌ

Ertinya : "Dan tatkala ia ( Musa a.s) sampai di sumber air negeri Mad-yan ia menjumpai di sana sekumpulan orang (lelaki) yang sedang meminumkan (ternaknya), dan ia mendapati di belakang lelaki-lelaki itu, ada dua orang wanita yang sedang memegang (ternaknya dengan terasing dari lelaki).

Musa berkata: ""Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?"" Kedua wanita itu menjawab: ""Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapak kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya" (Al-Qasas : 24 )

5) Mendapat izin wali atau suami.

6) Mestilah kerjayanya tidak menyebabkan terganggu dan terhentinya tanggung jawab di rumah terhadap anak serta suami. (Nazarat Fi Kitab As-Sufur, hlm 84)

7) Tujuan dan niat utama bekerja bukanlah kerana keasyikan dan keghairahan kepada mengumpul harta dan niat semata-mata menyaingi lelaki.

8) Mestilah berhenti sekiranya terdapat keperluan dan kecatatan dalam pendidikan anak-anak.

9) Digalakkan ianya dilakukan dalam tempoh tertentu sahaja dan bukan selama-lamanya sehingga pencen. Sepatutnya berhenti sejurus suami mempunyai kemampuan menanggung seluruh keluarga dengan baik. Kecuali jika mempunyai kualiti yang amat diperlukan oleh masyarakat umum.

Tuesday, March 3, 2009

Hukum Wanita Kerjaya (part 1)


Islam membenarkan isteri bekerja tetapi semua kebenaran itu adalah diikat dengan syarat-syaratnya.

Keharusan ini termasuk dalam umum ayat Allah SWT iaitu :-

للرجال نصيب مما اكتسبوا وللنساء نصيب مما اكتسبن

Ertinya : "Bagi lelaki bahagian yang ia usahakan dan bagi wanita bahagian yang ia usahakan" ( An-Nisa : 32 )

Nabi SAW pula telah menyebutkan bahawa :-

ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده

Ertinya : "Tiada seorang pun yang makan lebih baik dari orang yang makan hasil dari tangannya sendiri" ( Riwayat, Al-Bukhari, no 1966, Fath Al-bari, 4/306)

Disebut juga dalam sebuah hadith dhoif :

من بات كالاًّ من عمل يده بات مغفورًا له

Ertinya : Sesiapa yang tidur dengan keletihan dari kerja tangannya sendiri, ia tidur dalam keadaan diampunkan oleh Allah SWT" ( Riwayat Ibn 'Asakir & At-Tabrani ; Al-Haithami dalam Majma Az-Zawaid )

Justeru, bekerja dan mencari nafqah adalah wajib bagi lelaki yang tiada sebarang keuzuran tubuh dan aqal bagi menanggung isteri dan keluarganya manakala wanita pada asasnya, hukum Islam meletakkannya untuk berperanan di rumah dan keluarga bagaimanapun wanita tidak dilarang bekerja di luar rumah jika terdapat keperluan serta mampu menepati syarat-syarat yang ditetapkan Islam. Isu ini tidak dibincangkan meluas di zaman Nabi atau sahabat kerana terlalu kurang keperluan untuk itu pada zaman tersebut ( Nizam Al-Usrah, Dr Uqlah Al-Ibrahim, 2/280)

Kesamarataan Hak : Lelaki & Wanita....


Isu tuntutan kesamarataan hak oleh wanita dalam kehidupan pernah dilaungkan begitu hangat di suatu ketika dahulu, terutamanya di ketika Amina Wadud cuba menggemparkan dunia Islam dengan menjadi imam solat Jumaat bagi lelaki. Tidak dinafikan, ia masih lagi mempunyai pendokong dan penyokong yang ramai, mungkin juga bertambah ramai hari demi hari, tahun demi tahun, selari dengan melebarnya keterhakisan ilmu Islam dalam diri wanita Islam dan masyarakat. Selari juga dengan terhakisnya keyakinan terhadap kebijaksanaan Allah SWT mengatur alam ciptaanNya sendiri.

Setitik ilmu yang diperolehi dari universiti dan pembacaan, beberapa kejayaan duniawi di medan kerjaya dan universiti menjadikan terdapat para wanta yang tertipu dengan kebijaksanaan aqal mereka. Tanpa sedar, ada yang menyangka aqalnya lebih bijak dari hukum yang telah digazetkan di dalam Al-Quran dan Al-Hadith. Dijadikan hujah-hujah aqal dan hak asasi sebagai hujah meraih simpati dan sokongan lebih ramai masyarakat.

Sebahagian yang lain pula menafikan mereka menolak hukum quran dan hadith, tapi yang mereka cabar dan tolak adalah pentafsiran para ulama dari kalangan lelaki yang 'berat sebelah' menurut mereka.

Sebahagian hujjah aqal yang disertakan pula amat biadap terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW. Seperti mengatakan hukum Islam berat sebelah kerana di fahami dari aqal seorang lelaki iaitu Muhammad dan diteruskan oleh para sahabat baginda dan seterusnya para ulama Islam yang majoritinya dari kalangan lelaki.

Sebelum itu, ketahuilah Islam telah menaikkan taraf wanita dengan begitu tinggi terutamanya jika dibandingkan dari apa yang berlaku sebelum Islam dan juga apa yang ada di barat hari ini. Tiada perbezaan untuk meraih syurga Allah dalam banyak perkara, Cuma ada beberapa amalan yang dilaksanakan dalam bentuk berlainan, tetapi hasilnya dan penerimaan Allah SWT tetap sama iaitu berdasarkan kualitinya.

Kedua-dua lelaki dan wanita diperintah untuk menuntut ilmu. Kedua-duanya equal dalam hal ini. Kedua-duanya diperintah solat dan puasa, cuma sedikit keringanan diberi kepada wanita dan beberpaa perbezaan semasa pelaksanaannya. Walaubagaimanapun, ia langsung tidak mengurangkan peluang wanita untuk meraih syurga Allah dan seluruh nikmatNya.

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتَ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُوْلَـئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ

Ertinya : Dan barangsiapa yang melakukan amal soleh dari kalangan lelaki dan wanita dalam keadaan mereka beriman, mereka itulah yang akan memasuki syurga.." ( An-Nisa : 124 )

Monday, March 2, 2009

Bolehkah Wanita Berdakwah Melalui Nashed ? - part 2



Suara Wanita Ketika Beribadah

Displin Islam dalam hal ini boleh dilihat dari perkara di bawah ini :-

1) Ingin Menegur Imam semasa solat,

Jika kaum wanita ingin menegur imam lelaki yang tersilap bacaan atau terlupa rakaat dan lainnya. Nabi SAW hanya membenar para wanita mengingatkan imam dengan menggunakan tepukan sahaja.

Hadithnya :-

فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم ما لي رأيتكم أكثرتم التصفيق من رابه شيء في صلاته فليسبح فإنه إذا سبح التفت إليه وإنما التصفيق للنساء "

Ertinya : Berkata Rasulullah SAW , mengapa aku melihat kamu banyak bertepuk apabila ragu-ragu (waswas) dalam sesuatu perkara semasa solatnya. Hendaklah kamu ( lelaki ) bertasbih dan sesungguhnya tepukan itu hanya untuk wanita" ( Riwayat Al-Bukhari, no 652)

Arahan nabi untuk wanita bertepuk bagi membantu imam itu adalah bagi menjaga suaranya dari memesongkan orang lelaki yang sedang solat (Faidhul qadir, 3/281 ; Al-hawi al-Kabir, 9/17)

2) Wanita dan azan

Imam al-Jassas ketika mentafsirkan ayat dari surah al-ahzab tadi menyebut bahawa ayat ini memberi hukum bahawa wanita dilarang dari melaungkan azan terutamanya jika kemerduan suaranya dijangka mampu mengelodak hati sang lelaki ( Ahkam al-Quran, 5/229 dengan pindaan ringkas)

Demikian juga pandangan mazhab Syafie dan hanbali, dan tidak diketahui ada yang bercanggah pendapat dalam hal ini , kata Imam Ibn Quddamah, ( Al-Mughni, 2/68 )

3) Wanita menjadi imam solat kepada wanita lain atau ketika solat jahar.

Sudah tentu wanita harus untuk menjadi imam kepada wanita lain, tetapi mereka tidak dibenarkan mengeraskan bacaan quran mereka jika di tempat itu terdapatnya para lelaki yang bukan mahramnya. ( Al-Mughni , Ibn Quddamah)

Imam Ibn Hajar berkata : "jika dikatakan bahawa sekiranya wanita menguatkan bacaannya di ketika solat maka solatnya batal, adalah satu pendapat yang ada asasnya" (Fath Al-Bari, 9/509 )

Jelas bahawa suara wanita yang dilagukan atau dalam keadaan biasa apabila melibatkan soal ibadah hukumnya dilihat semakin ketat kerana dibimbangi menggangu ibdaaha wanita itu terbawa kepada kerosakan kaum lelaki yang lemah ini. Kerana itu disebutkan

فرع : صرّح في النوازل بأنّ نغمة المرأة عورة..ولهذا قال عليه الصلاة والسلام : ( التسبيح للرجال والتصفيق للنساء ، فلا يحسن أن يسمعها الرجل . )

Ertinya : Ditegaskan bahawa suara wanita yang dilagukan adalah aurat ..kerana itu Nabi SAW bersabda : Sesungguhnya tasbih untuk lelaki , dan tepukan khas untuk wanita, maka tiada harus didengari ‘tasbih' wanita oleh si lelaki" ( Syarh Fath Al-Qadir, 1/206 )

4) Suara wanita dan talbiah Haji

Ijma ulama bahawa wanita tidak mengangkat suaranya kecuali hanya setakat didengari olehnya sahaja, demikian pendapat Ato', Imam Malik, Syafie, Hanafi Awzaie ( AL-Um, 2/156 ; Al-MUghni , Ibn Quddamah, 5/16 )


Kesimpulan

Suara wanita boleh dibahagikan kepada dua jenis :-

1) Suara biasa wanita yang didengari secara jahar kepada lelaki awam ; Ia diperbezakan hukumnya di kalangan ulama. Ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskan secara total. Ada pula yang mengharuskannya apabila dijangka tidak membawa fitnah kepada lelaki (Al-Jami' Li Ahkami Quran, 14/227 ; Ibn Qayyim, al-Hasyiah, 6/156 ; ‘Ianah at-Tolibin, Ad-Dimyati ; 3/260 ; Al-furu', Ibn Al-Mufleh, 1/372 )

2) Yang dilembutkan dengan sengaja, dimanjakan dan dimerdukan. Ianya adalah diharamkan untuk diperdengarkan kepada khalayak lelaki secara Ijma'. ( An-Nihayah, Ibn Athir, 42/2 ; Lisan al-Arab, Ibn Manzur , 73/8 ; Tafsir At-Tabari ; 3/22 ; Hasiyah At-Tohawi ; 1/161)

Maka kumpulan nashid wanita hari ini termasuk di dalam kumpulan yang kedua tanpa khilaf. Malah bukan sekadar ‘illah suara sahaja yang boleh menjadikan mereka tercebur dalam perkara haram, malah pakaian dan pergerakkan mereka di khalayak awam juga.

Kebiasaannya apabila persembahan di buat, mereka kerap bersolek-solekan dengan pakaian yang canggih manggih. Di samping itu, duduk pula di atas pentas menjadi tontotan lelaki, jika para ulama semasa menghukumkan haramnya bersanding pengantin di atas pentas dalam keadaan senyap tanpa berkata. Apatah lagi kumpulan nashid wanita yang bersolek adakala seperti pengantin ini dan melentuk-lentuk tubuh dan suaranya di hadapan lelaki bukan mahram, sudah tentu haramnya lebih besar.

" tapi ustaz, inikan alternative untuk mereka yang suka tengok penyanyi wanita yang seksi..eloklah mereka tengok kami" mungkin ini sebahagian pertanyaan penyokong kumpulan nashid wanita.

Jawapnya, benda yang haram tidak boleh dialternatifkan dengan yang haram juga.

Sebagaimana di sebut oleh dalil :-

إِنَّ اللَّهَ عز وجل لاَ يمحوا السيء بالسيء وَلَكِنْ يَمْحُو السيء بِالْحَسَنِ إِنَّ الْخَبِيثَ لاَ يمحوا الْخَبِيثَ

Ertinya : " Sesungguhnya Allah SWT tidak akan memadam yang buruk dengan buruk juga, tetapi yang buruk (haram) dipadamkan dengan yang baik (halal) Sesungguhnya yang kotor itu TIDAK boleh mensucikan yang kotor" ( Riwyaat Ahmad, 1/387 : Perawi Ahmad adalah thiqah kecuali sebahagiannya khilaf ; Majma' Az-Zawaid, 10/228 )

Justeru, tidak boleh menggantikan penyanyi wanita seksi itu dengan penyanyi nashid wanita. Kerana kedua-duanya haram buat si lelaki bukan mahramnya.

Jangan pula ada yang mendakwa kononnya ia adalah bentuk dakwah, TIDAK, Allah tidak akan menjadikan dakwah berkesan melalui perkara haram. Tiada siapa boleh mengatakan ia sengaja minum arak kerana ingin mendakwah rakanya bahawa arak itu buruk.

Nabi SAW bersabda :

إن الله لم يجعل شفائكم فيما حرم عليكم

Ertinya : "Allah SWT tidak menjadikan penyembuhan kamu melalui perkara yang diharamkanNya" ( Riwayat Al-Bukhari )

Hadith ini menjelaskan tidak boleh mengambil apa jua yang diharamkan oleh Allah SWT untuk dijadikan ubat, kerana Allah tidak akan menjadikan ubat dalam perkara yang diharamkanNya. ( Tuhfatul Ahwazi , 6/168 )

Demikianlah dakwah dan pemulihan akhlak dan jiwa manusia, Allah SWT tidak akan menjadinya perkara yang diharamkanNya (melembutkan suara hadapan bukan mahram) sebagai medium dakwah yang berkesan. Ia tidak lain hanyalah untuk komersial dan mengaut untung sahaja.

Setiap hasil untung dari jualan kaset nashid wanita dewasa ini juga tidak lain kecuali hasil yang haram menurut sepakat ulama mazhab. Kecuali jika ia khas untuk wanita dan dijual secara tertutup di majlis wanita sahaja. Persembahan juga untuk kaum wanita.

Sedarilah kumpulan nashied wanita dan penyanyi wanita yang mendakwa dakwah melalui nashid anda..Ia pasti tidak kan berjaya, usaha itu juga pastinya tidak diterima oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil yang diberi.

Bolehkah Wanita Berdakwah Melalui Nashed ? - part 1


Umat Islam terutamanya para muda mudi amat memintai muzik dan lagu. Para remaja Islam dari kalangan lelaki dan wanita juga tidak terkecuali dari menjadi peminat muzik ini. Walau bagaimanapun, mereka mengalihkan minat itu kepada dendangan lagu-lagu nasyid yang liriknya membawa kepada kebaikan dan kesedaran agama.

Tidak dapat dinafikan, banyak juga nasyid-nasyid ini yang dilihat menyimpang dari landasan asal lalu sifat komersialnya melebihi nasihatnya. Liriknya yang asalnya membawa kepada nasihat agama mulai bertukar kepada puja-puji wanita dan kekasih. Bezanya dengan lagu pop rock biasa hanyalah kerana ia diadun sedikit dengan menyebut nama-nama Allah sekali sekala, kalimah Islam atau apa-apa elemen Islam.

Saya akan menulis lanjut tentang hal ini kemudian, InshaAllah. Dalam penulisan ini, saya ingin mengajak pembaca melihat peranan kaum wanita muslimah dalam industri nasheed ini. Adakah ianya halal atau sebaliknya?

Suara Wanita

Majoriti ulama berfatwa suara wanita bukanlah aurat. Dalilnya mudah iaitu

أنَّ رسول الله ـ صلَّى الله عليه وسلَّم ـ قال: "يا معشر النساء تصدقن وأكثرن الاستغفار؛ فإنِّي رأيتكنَّ أكثر أهل النار، فقالت امرأة جزلة منهنَّ: وما لنا يا رسول الله أكثر أهل النار؟ فقال: تكثرن اللعن، وتكفرن العشير"..

Ertinya : Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata : wahai seluruh kaum wanita, bersedeqah dan banyakkan istighfar, sesungguhnya aku melihat wanita adalah majority ahli neraka. Maka berkatalah seorang wanita : Mengapa kami menjadi majority ahli neraka ya Rasulullah? : rasul menjawab : wanita banyak yang melaknati dan mencela orang lain serta mengingkari kebaikan suaminya.." (Riwayat Muslim)

Saya bukan ingin mengulas isi kandungan hadith itu, tetapi ingin membawakan bukti bahawa suara wanita dalam keadaan biasa bukanlah aurat. Pertanyaan secara langsung wanita itu membuktinya. Selain hadith ini, banyak lagi hadith-hadith lain yang membuktikan suara wanita bukan aurat.

Hasilnya, pandangan terkuat dalam mazhab Hanafi, yang muktamad dalam Maliki, Syafie dan Hanbali menganggap suara wanita bukanlah aurat.

Amaran Allah

Allah SWT yang menciptakan manusia sememangnya telah memberi peringatan akan hal ini apabila menyebut :-

فَلاَ تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِى فِى قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلاً مَّعْرُوفاً

Ertinya : Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandngan dan tatacaranya)" (Al-Ahzab : 32)

Para ulama tafsir menyebut, suara wanita yang dilagukan adalah termasuk dari kecantikan-kecantikan (yang tidak harus dipertonton dan dipeerdengarkan kepada lelaki bukan mahram) tiada khilaf dalam hal ini ( Adwa al-Bayan, 5/10 : At-Tashil Li Ulum At-Tanzil, 3/137 ; )

Imam As-Suddi berkata : larang ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat ( Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177)

Berdasarkan dalil ayat ini, apa yang boleh saya fahami adalah nasheed wanita juga tergolong dalam bab yang diharamkan oleh Islam apabila ia diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahram. Adapun jika ia dinyanyikan oleh kanak-kanak wanita yang belum baligh atau ia dinyanyikan khas untuk para wanita. Ia adalah harus.