Marilah bersama kita merenung kembali satu peristiwa besar yang begitu menyayatkan hati, yang telah menimpa rumahtangga Rasulullah SAW. Ini ialah salah satu perancangan jenayah yang telah dilakukan oleh golongan munafiqin.
Apabila golongan ini merasakan sudah tiada lagi jalan untuk menewaskan Islam dengan cara berhadapan, samada secara berperang atau lainnya, lalu mereka mula menukar strategi perjuangan mereka.
Ini selepas Islam mendapat kemenangan yang besar -dengan pertolongan Allah- dalam peperangan Badar pada tahun 2H dan pukulan yang sengit juga menimpa mereka dengan tewasnya tentera Ahzab (Khandak) pada tahun 5H. Walaupun tentera mereka begitu ramai dan disertai oleh golongan Yahudi, Quraisy, Arab Badwi dan lain-lain, sehingga dengan kemenangan ini, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Sekarang kita akan keluar menyerang mereka, sebaliknya mereka tidak akan datang lagi untuk menyerang kita (Madinah)”. [Sahih Al-Bukhari No. 4110].
Golongan munafiqin memainkan peranan untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Mereka cuba mengadakan huru hara dalam masyarakat yang aman damai dengan pelbagai helah dan tipu muslihat. Ini agar umat Islam sentiasa berada dalam keadaan gelisah dan keluh kesah sehingga mereka tidak dapat menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada islah mujtama’, membaikpulih kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan menyebarkan dakwah Islamiah.
Kejadian yang amat memedihkan ini berlaku sekembalinya Rasulullah SAW dari serangan yang dilakukan terhadap bani al-Mustaliq (المصطلق).
Pada bulan Sya’ban tahun 06H, bani al-Mustaliq telah mengadakan satu komplot untuk menyerang Rasulullah SAW. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda keluar bersama tentera Islam. Turut keluar bersama tentera muslimin ini ramai golongan munafiqin, ini kerana mereka tahu Islam akan mendapat kemenangan. Mereka keluar bukan untuk berperang, tetapi untuk mendapat habuan perang (ghanimah).
Tentera Islam dan bani al-Mustaliq bertemu di suatu tempat bernama al-Muraisi’ (المريسيع), di mana tentera Islam telah mengalahkan mereka dengan mudah. Dalam perjalan pulang, golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, telah cuba mengapi-apikan kabilah Ansar dan Muhajirin, untuk melagakan dua golongan Islam ini, tetapi api fitnah ini dapat dipadamkan oleh Rasulullah SAW.
Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila keluar bermusafir Baginda akan mengadakan undian di antara para isterinya, siapakah yang akan mengiringi Baginda dalam musafir itu. Demikianlah sunnah Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap semua isteri. Dalam peperangan ini, yang terpilih adalah Ummul Mukminin Aisyah RA, seorang yang masih muda dan berbadan kecil.
Setelah tiba di suatu tempat berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabatnya telah berhenti rehat. Ketika ini, Siti Aisyah telah keluar untuk menunaikan hajat di suatu tempat yang terselindung daripada pandangan tentera Islam. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.
Pada waktu yang sama, tentera Islam telah diperintahkan supaya meneruskan perjalanan ke Madinah. Pemandu unta Aisyah menyangka beliau telah berada di atas sekedupnya dan terus menariknya serta meneruskan perjalanan.
Setelah Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan tentera telah berangkat tanpanya. Maka beliau terus berkelubung dengan hijabnya dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan datang orang mencarinya selepas ini. Dalam keadaan cemas itu beliau menangis sehingga tertidur.
Kemudian datanglah Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau begitu terkejut dan terus beristirja’, iaitu menyebut kalimah “Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raji‘uun” [إنا لله وإنا إليه راجعون] dan lebih-lebih lagi apabila beliau mengenali Siti Aisyah sebelum turunnya ayat Hijab.
Tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan berliau berjalan membuntuti unta tersebut. Aisyah RA berkata: “Kami tidak bercakap walau sepatahpun kecuali istirja’ Sofwan.” Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi.
Apabila melihat Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka. Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.
Setelah tiba di Madinah, telah tersebar ‘Hadis Ifki’ (tuduhan jahat) ini. Rasulullah SAW sendiri diam tidak bercakap, menantikan wahyu. Baginda juga telah bertanya pendapat beberapa orang sahabat, ada yang mengatakan ceraikan sahaja Aisyah dan ada pula yang membelanya. Wahyu pula tidak turun kepada Rasulullah SAW hampir sebulan. Ini adalah untuk menguji keimanan kaumnya dan untuk menzahirkan golongan munafiqin.
Setelah Aisyah RA mendengar berita tersebut, beliau menangis sehingga kekeringan air matanya, tidak dapat mengeluarakan air mata lagi dan tidak dapat tidur keduanya. Kata Aisyah: “Aku menyangka tangisanku akan memusnahkan kehidupanku.”
Hampir sebulan berada dalam keadaan demikian, pada suatu hari, datanglah Rasulullah SAW ke rumah isterinya Aisyah bersama ayah dan ibunya. Baginda SAW bersabda kepada Aisyah yang sedang asyik menangis:
Maksudnya: ((Wahai Aisyah, sekiranya engkau suci daripada tuduhan ini, nescaya Allah akan membebaskan engkau, sekiranya engkau tersasar, maka beristighfarlah, sesungguhnya sekiranya seorang hamba itu bersalah kemudian dia mengakui dan bertaubat, pasti Allah SWT akan menerimanya.))
Setelah mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, Aisyah berhenti menangis dan meminta supaya ibu bapanya menjawab bagi pihaknya, tetapi mereka tidak tahu apa yang harus diucapkan. Beliau lalu menjawabnya sendiri dengan berkata: “Keringlah airmataku kerana aku tahu tentang diriku. Kalau aku berkata aku dipihak yang benar, dan Allah mengetahui perkara yang sebenarnya, tetapi pasti kamu tidak akan mempercayainya. Tetapi sekiranya aku mengakui sesuatu yang Allah tahu aku adalah suci darinya, kamu akan mempercayainya. Maka tiada apa bagi aku dan kamu kecuali apa yang diucapkan oleh bapa nabi Yusuh AS:
Maksudnya: {Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.} [Yusuf: 18].
Aisyah RA kemudiannya berpaling dan berbaring untuk berehat. Pada waktu inilah turunnya ayat yang membebaskan Aisyah RA dari segala tuduhan yang tohmahan dan fitnah ke atasnya. Ia juga menjanjikan hukuman terhadap golongan yang menuduhnya.
Ini dapat kita baca sehingga ke hari ini di dalam surah An-Nur: Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.} [An-Nur: 11]. [Lihat: Tafsir Ibnu Kathir] Demikianlah secara ringkas kisah fitnah yang dilemparkan ke atas keluarga Rasulullah SAW.[b]Cuba kita bayangkan betapa besarnya jenayah yang dilakukan oleh si munafiqin Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya.
Monday, September 20, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)